Keusahawanan mampu cipta sejuta peluang pekerjaan, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulangtahun Ke-35 Universiti Binary di Hotel Marriot Putrajaya, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 September Ogos, 2019.

BIDANG keusahawanan akan menjayakan usaha kerajaan mencipta sejuta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata keusahawanan, dengan idea inovasi yang mampu meneroka bidang baharu untuk golongan B40, akan membantu Malaysia keluar dari perangkap negara berpendapatan menengah.

“Usahawan juga dijangka menyumbang kepada satu juta pekerjaan di Malaysia menjelang tahun 2030.

“Selain itu, usahawan juga boleh menyumbang dalam model ekonomi baru Malaysia,  Kemakmuran Bersama dengan mewujudkan peluang untuk usahawan dari kumpulan B40,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Ulangtahun Ke-35 Universiti Binary di Hotel Marriot Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang beliau lancarkan baru-baru ini menggariskan beberapa teras utama antaranya sektor pertumbuhan baru, meningkatkan pasaran buruh, meningkatkan kesejahteraan sosial dan modal sosial.

“Negara tanpa penekanan terhadap keusahawanan tidak dapat bergerak maju dan duduk sebaris dengan negara maju. Oleh itu, Malaysia perlu memfokuskan semula bidang keusahawanannya,” katanya.

Melalui DKN 2030, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 250,000 usahawan sebagai langkah dalam merealisasikan sejuta peluang pekerjaan di Malaysia, dalam tempoh lima tahun.

Usahawan berkenaan akan memainkan peranan sebagai ‘pencipta pekerjaan’ selain menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – 11 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen