Kanak-kanak 2 tahun meninggal dunia dipercayai didera 


SEORANG kanak-kanak perempuan meninggal dunia dipercayai didera pengasuhnya di sebuah rumah di Kandang, Melaka, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata kanak-kanak itu dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pengasuh dan suaminya ke Hospital Melaka kira-kira pukul 2 pagi semalam sebelum disahkan meninggal dunia.

“Kanak-kanak itu telah diberi bantuan pernafasan oleh pegawai perubatan sebaik tiba di unit kecemasan hospital itu namun mangsa tidak dapat diselamatkan.

“Kanak-kanak itu dijaga pengasuh berkenaan sejak akhir Julai lepas dan siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam serta parut di kepala dan paha mangsa dipercayai didera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, pengasuh berusia 36 tahun dan suaminya, 45, ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya pihaknya juga masih menunggu laporan proses bedah siasat kanak-kanak itu yang dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – Bernama, 11 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen