Sarawak sambut Hari Malaysia di tempat tertutup


Desmond Davidson

Penganjur sambutan Hari Malaysia di Sarawak mengambil keputusan mengadakan acara di dalam bangunan susulan pencemaran udara akibat jerebu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 11 September, 2019.

SARAWAK mengambil keputusan mengadakan upacara sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di dalam bangunan.

Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hassan hari ini mengumumkan sambutan akan diadakan di Stadium Perpaduan di Petrajaya yang pada mulanya dicadang diadakan di Padang Merdeka di pusat bandaraya.

“Kita tidak ada pilihan. Kita perlu mengambil langkah ini kerana isu kesihatan,” kata Awang Tengah yang juga merupakan pengerusi penganjuran sambutan itu.

Awang Tengah berkata jerebu tebal yang menyelubungi bandar raya dan kawasan sekitar Samarahan, dijangka berterusan sehingga akhir bulan ini.

“Kami memutuskan tidak sesuai untuk mengadakan acara sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka,” katanya kepada pemberita di lapangan terbang antarabangsa Kuching.

“Apa yang penting ialah kita tidak boleh merisikokan kesihatan orang ramai sekiranya indeks pencemaran udara (API) meningkat lebih 200. Kita tidak tahu apa keadaannya pada 16 September nanti.”

Walaupun API turun di bawah paras 200 (sangat tidak sihat) hari ini, ia berlegar pada tahap itu ketika jawatankuasa penganjur membuat keputusan dalam mesyuarat malam tadi.

Timbalan ketua menteri berkata perubahan ke tempat tertutup bermakna banyak program yang diatur bagi acara itu sama ada digugurkan, ditangguh atau dipotong.

“Bagaimanapun, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan sambutan Hari Malaysia ini akan menjadi satu lagi kejayaan,” katanya. – 11 September, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen