Walaupun sudah dijelaskan, denda RM1,000 lewat daftar anak masih terima kecaman


Desmond Davidson

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed mungkin sudah menjelaskan yang denda RM1,000 kerana lewat mendaftar kelahiran tidak akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, tetapi penjelasan itu agak terlewat kerana protes di kedua-dua negeri Borneo itu sudah berlaku.

Nur Jazlan pada Selasa lalu mengumumkan dasar baru mengenakan denda sebanyak RM1,000 berbanding RM50 sebelum ini kepada ibu bapa yang gagal mendaftarkan anak mereka dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kelahiran.

Selepas mendapati wujud bantahan menular di media sosial, beliau mengeluarkan satu lagi kenyataan- dilaporkan kerana nasihat Timbalan Menteri Dalam Negeri II Masir Gajat- mengatakan denda itu berdasarkan pindaan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, Akta 299 yang tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.

Katanya, dalam kes Sabah, negeri itu menggunakan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah 1951 (CAP 123) dan Sarawak pula menggunakan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak 1951 (CAP 10).

Tetapi, ahli politik di Sabah dan Sarawak masih tidak terpujuk dengan kenyataan terbaru itu.

“Mengeluarkan kenyataan itu yang agak kontroversi kemudian membuat penjelasan bagi meredakan kemarahan rakyat menampakkan kerajaan tidak cekap,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau daripada Barisan Nasional.

Ngau berkata apabila penduduk Sarawak membaca pengumuman itu pada Selasa, mereka merasakan keputusan itu dibuat tanpa mempertimbangkan masalah dihadapi penduduk luar bandar untuk mendaftar kelahiran dan kematian.

“Saya juga mahu mencadangkan yang pembuat dasar di Semenanjung untuk berunding dengan wakil rakyat tempatan sebelum membuat sebatang keputusan sehinggalah saya membaca penjelasan itu pagi ini.”

Ngau berkata walaupun beliau bersetuju sepenuhnya dengan usaha untuk menghalang pendaftaran lewat, beliau pasti menentang sekiranya denda sebanyak RM1,000 itu juga terpakai di Sarawak.

“Jumlah itu terlalu banyak.”

Ketua PKR Sarawak, Baru Bian menyifatkan dasar baru itu sebagai “bodoh”.

“Ia satu lagi dasar yang tidak mempertimbangkan keadaan Sarawak,” kata Baru yang merupakan ADUN Ba Kelalan malam tadi.

Kawasan diwakilinya terletak jauh di dalam Bahagian Limbang berhampiran sempadan Sarawak-Kalimantan tidak mempunyai jalan yang sempurna ditambah lagi dengan rakyat yang diwakilinya, termasuklah Penan, suku kaum terakhir yang berpindah randah di negara ini tidak memahami konsep autoriti mahupun keperluan pendaftaran kelahiran.

“Pembuat dasar ini tidak faham situasi kami, betapa sukar dan mahalnya hanya untuk pergi ke bandar untuk mendaftar kelahiran.

“Bina infrastruktur untuk kami dahulu di pendalaman Sarawak sebelum buat dasar yang bodoh begini,” kata Baru.

Presiden sebuah parti kecil, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Cobbold John juga menyuarkan pandangan serupa dengan Baru dengan mengatakan: “Adakah mereka fikir orang Dayak pendalaman hanya boleh lompat dalam perahu dan pergi ke depan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara pada bila-bila masa sahaja?”

John yang pada mula merasakan dasar itu akan terpakai di Sarawak mengatakan ramai orang Dayak di Sarawak hidup di kawasan yang tidak mempunyai jalan yang sempurna dan kos untuk pergi ke bandar berhampiran untuk melakukan urusan rasmi seperti mendaftarakan kelahiran atau membuat MyKad sangat mahal, dan ramai antara mereka tidak mampu.

Menjadi kebiasaan, kos untuk pergi ke bandar berhampiran dari rumah panjang mereka mencecah RM100- kos yang tinggi bagi penduduk ini.

Ia akan lebih mahal sekiranya mereka perlu bermalam.

“Saya terkejut,” kata John.

Katanya, beliau tertanya-tanya sekiranya menteri dan kerajaan persekutuan tidak memahami situasi sebenar di pendalaman Sarawak sedangkan negeri itu berdepan masalah “rakyat tanpa warganegara” bertahun lamanya - mereka yang tidak pernah mendaftarkan kelahiran mereka atau mempunyai MyKad.

John mendakwa terdapat hampir 500,000 orang Dayak di Sarawak tanpa dokumen untuk membuktikan mereka rakyat Malaysia.

Dasar itu akan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak di pendalaman negeri itu tidak mempunyai kewarganegaraan, kata Pengerusi DAP Serian, Edward Andrew Luwak.

Serian adalah sebuah bandar majoriti Dayak 66 km jauhnya dari Kuching.

Luwak berkata denda RM1,000 itu terlalu berat dan tidak akan mampu dibayar ramai penduduk luar bandar yang miskin.

“Saya kenal beratus (keluarga) yang ada bil air tertunggak, bil yang jauh lebih rendah daripada RM1,000.

Katanya, apabila ibu bapa miskin ini menyedari mereka terpaksa membayar denda berat kerana pendaftaran lewat, mereka tidak akan pedulipun untuk mendaftarkan anak-anak mereka.

“Ia bukan soal mereka tak tahu, tapi ini soal mereka tak mampu.”

Luwak berkata tanpa dokumen rasmi, kanak-kanak ini akan dianggap tiada warganegara dan masalah mereka bertambah besar apabila mereka hendak memasuki sekolah.

Abun Sui Anyit, seorang aktivis Orang Asal pula mengatakan jika dasar itu dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, ia merupakan “satu langkah ke belakang”.

“Sepatutnya mereka tolong orang miskin, tapi nampaknya kerajaan gembira nak hukum mereka kerana tak mampu daftar anak secepat mungkin.”

Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid pula menyifatkan dasar baru itu seperti “menambah kepedihan” hidup ibu bapa yang miskin dan berpendapatan rendah yang sudahpun ditekan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), serta bergelut untuk menjalani hidup dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Denda RM1,000 yang merupakan kenaikan 2000% berbanding RM50 sebelum ini juga lebih tinggi daripada upah minimum.

“Di mana dan bagaimana ibu bapa miskin ini hendak mencari duit lebih untuk mendaftar anak mereka?” kata Rahimah yang juga merupakan ketua PKR Kudat.

Katanya, denda berat itu tidak akan mengalakkan rakyat pendalaman mendaftar anak mereka selepas tamat tempoh.

Kesannya, kata Rahimah menyebabkan “mereka menjadi pelarian di tanah air sendiri untuk sepanjang hidup mereka”.

“Situasi unik di Sabah dan Sarawak di mana pembangunan infrastruktur masih jauh ketinggalan, berbanding Semenanjung Malaysia adalah sebahagian daripada punca mengapa kadar pendaftaran kelahiran lewat di kedua-dua negeri.

“Majoriti penduduk luar bandar terlalu miskin untuk membayar harga pengangkutan untuk pergi ke bandar berhampiran bagi mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka.

“Ini adalah sebab mengapa program Mahkamah Mudah Alih Integrasi yang dilancarkan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak , Richard Malanjun bertahun dahulu bagi membantu orang pendalaman mendaftarkan kelahiran lewat anak-anak mereka.”

Rahimah berkata memandangkan pendaftaran kelahiran adalah tanggungjawab dan perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan, denda RM50 pun sepatutnya tidak dikenakan. – 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen