Akhbar Turki siar kata-kata akhir Khashoggi sebelum dibunuh


Pembunuhan kejam Jamal Khashoggi dibunuh pada Oktober lalu di konsulat Arab Saudi di Istanbul – Gambar AFP, 11 September, 2019.

AKHBAR Turki Daily Sabah pada Selasa menyiarkan rakaman audio mengandungi kata-kata terakhir wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, yang dibunuh Oktober lalu di konsulat Saudi di Istanbul, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut laporan, audio itu diperolehi oleh Pertubuhan Risikan Kebangsaan Turki sejurus selepas kejadian dan dikongsi bersama dengan pihak berkuasa negara berkenaan yang turut sama menjalankan siasatan berhubung pembunuhan itu.

Rakaman itu mengandungi perbualan mengenai perancangan untuk membunuh Khashoggi sebelum mangsa tiba di konsulat.

Berdasarkan transkrip rakaman sebaik Khashoggi tiba di konsulat untuk prosedur perkahwinannya, seorang individu dikenali Maher Mutreb memberitahu beliau akan dibawa ke Riyadh atas arahan Interpol.

Khashoggi turut dipaksa menghantar mesej kepada anaknya mengatakan tidak perlu bimbang andai tidak mendapat sebarang khabar berita daripadanya, namun enggan berbuat demikian.

“Bantu kami, agar kami dapat membantu anda kerana kami akan membawa anda ke Arab Saudi dan jika tidak, anda tentu tahu apa akan jadi nanti,” kata Mutreb.

Laporan itu menambah, akhirnya Khashoggi yang bekerja dengan The Washington Post dilihat tidak sedarkan diri.

Kerajaan Riyadh mendakwa Mutreb dan 10 lagi tertuduh kerana terbabit dalam pembunuhan wartawan itu. – Bernama, 11 September, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen