JACK Ma mengundur diri sebagai ketua Alibaba Group semalam, mengakhiri 20 tahun pimpinannya yang penuh gemilang di mana syarikat e-dagang bekas guru Bahasa Inggeris itu meninggalkan impak besar dalam ekonomi China.
Ma yang menyambut ulang tahunnya ke-55 semalam menyampaikan ucapan selamat tinggal di Hangzhou, di mana Alibaba diasaskan, mengucapkan terima kasih kepada kakitangannya dan meramalkan peralihan kuasa yang lancar kepada pasukan eksekutif diketuai oleh CEO Daniel Zhang.
“Hari ini bukan persaraan Jack Ma. Ia permulaan menyerahkan sistem kami kepada generasi berikutnya,” kata Ma.
“Ini bukan pilihan seorang individu. Ia menunjukkan kejayaan sistem kami.”
Ma meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat yang diasaskannya pada 1999 untuk fokus kepada projek amal bernilai AS$41 bilion, terutama berkaitan pendidikan.
Pemergian Ma membuka babak baharu untuk syarikat itu yang banyak membantu perbelanjaan pengguna China secara besar-besaran, mencipta pelbagai peluang perniagaan besar dan kecil, serta membantu memahat peranan penting Internet dalam kehidupan harian rakyat China.
Sepanjang tempoh itu, Ma yang penuh karisma menjadi tokoh global.
Kelebihannya yang fasih berbahasa Inggeris, berjalan ke seluruh dunia dan aksi nakalnya – beliau pernah menari ala Michael Jackson dua tahun lalu – Ma menamatkan imej menyendiri kebanyakan eksekutif China, meletakkan wajah mesra terhadap kebangkitan ekonomi China. – AFP, 11 September, 2019.
Komen