JABATAN Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) berkata ia akan mengekalkan 5,500 anggota tentera yang ditempatkan di sempadan Mexico untuk tahun seterusnya bagi membanteras aktiviti pendatang haram.
Seminggu selepas mengumumkan ia akan mengasingkan AS$3.6 bilion untuk pembinaan tembok anti pendatang asing di situ, Pentagon berkata ia juga meluluskan permintaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk mengekalkan kehadiran askar.
Pentagon berkata akan menyediakan 5,500 anggota untuk memberikan sokongan infrastruktur; sokongan operasi; sokongan pengesanan dan pemantauan dan sokongan udara.
Peningkatan jumlah tentera di bahagian AS di sempadan saman dengan penambahan anggota tentera Mexico susulan tekanan daripada Presiden Donald Trump, termasuk ancaman untuk mengenakan sekatan dagangan.
Naib Presiden Mike Pence bertemu Menteri Luar Mexico Marcelo Ebrard semalam di Washington dan mengiktiraf tindakan kerajaan Mexico untuk menangani kebanjiran pendatang asing, kata White House.
Namun, kenyataan itu turut mengulangi desakan daripada pihak berkuasa AS minggu ini untuk Mexico berusaha lebih keras di sempadan. – AFP, 11 September, 2019.
Komen