Akar umbi PAS, Umno giat promosi perhimpunan 14 September


SM Amin

Kerjasama politik rasmi PAS dan Umno akan dimeterai September ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

UMNO dan PAS giat mengadakan ceramah di seluruh negara bagi menjelaskan kerjasama dua parti tersebut menjelang perhimpunan besar yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Program ceramah dengan tema perpaduan ummah itu digerakkan oleh bahagian Umno dan kawasan PAS masing-masing sejak April sebagai persediaan untuk Himpunan Penyatuan Ummah.

Pemimpin akar umbi kedua-dua parti berkata, program ceramah berkenaan mendapat sambutan dengan sesetengahnya mencecah kehadiran ribuan ahli.

Ketua Umno Bahagian Pokok Sena Noran Zamini Jamaluddin berkata, kehadiran dalam ceramah tersebut lebih besar di kawasan luar bandar.

“Kerjasama Umno dan PAS ini sambutan di luar bandar lebih luar biasa. Di bandar terdapat pertambahan jumlah yang hadir ceramah tetapi di luar bandar perbezaannya lebih ketara.

“Baru-baru ini saya pergi ceramah di Pulau Pinang yang sukar dapat sambutan, tetapi yang hadir sekarang sudah cecah ribu,” kata jentera penerangan Umno itu kepada The Malaysian Insight.

Menurut Noran, selain daripada mesej perpaduan agama dan bangsa, isu semasa seperti berkaitan dengan soal ekonomi turut dibangkitkan oleh penceramah kedua-dua parti.

“Ini bukan sahaja untuk mengangkat maruah atau membela Melayu Islam, tetapi keseluruhan perkara negatif yang berlaku setelah Pakatan Harapan memerintah negara ini, akan cuba dibela menerusi kombinasi Umno-PAS dan juga Barisan Nasional.

“Penyatuan ummah bukan agenda untuk membela orang Melayu Islam semata-mata, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Hutang negara semakin meningkat, kemerosotan ekonomi yang turut diakui peniaga Cina dan lain-lain lagi faktor,” katanya.

Bersatu hanya parti kecil, Amanah hanya ikut cakap DAP. DAP yang menguasai kerajaan dan kita harus bersama-sama menentang DAP, kata akar umbi Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

Tambah beliau, pemimpin MCA dan MIC juga turut dilibatkan dalam ceramah-ceramah perpaduan ummah terutama di kawasan yang mempunyai pengundi Cina dan India.

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad pula berkata, kerjasama dengan Muslimat PAS memastikan kerjasama kedua-dua parti itu direalisasikan dengan baik di akar umbi.

“Kita juga menjelajah ke seluruh Malaysia, memberi penerangan kepada wanita mengenai adanya penyatuan ummah ini.

“Kita beri pendedahan apakah yang dimaksudkan dengan piagam perpaduan ummah ini,” kata Noraini.

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad pula berkata, kerjasama dengan Muslimat PAS memastikan kerjasama kedua-dua parti itu direalisasikan dengan baik di akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

The Malaysian Insight berkesempatan meninjau salah satu ceramah tersebut yang diadakan di Kuala Selangor baru-baru ini.

Ketika ditemui Ketua Umno bahagian itu, Jahaya Ibrahim berkata mesej yang dibawa adalah untuk membentuk kerjasama di antara pengikut parti itu dan juga pengikut PAS.

“Kita hendak kerjasama ini berterusan dan ditingkat dari semasa ke semasa kerana kita hendak berhadapan dengan DAP,” katanya.

Mereka turut menonjolkan mengenai masalah dinamisme dalam Pakatan Harapan yang menurutnya disebabkan penguasaan DAP.

“Bersatu hanya parti kecil, Amanah hanya ikut cakap DAP. DAP yang menguasai kerajaan dan kita harus bersama-sama menentang DAP,” katanya.

Pada 14 September, Presiden kedua-dua parti, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang dijadualkan menandatangani piagam kerjasama Umno dan PAS di Pusat Dagangan Dunia Putra. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

Rakan sejawatannya dari PAS, Muhammad Rashid Muhammad Kassim juga giat mempromosi kerjasama dengan Umno ketika ditemui dalam acara tersebut.

“Saya menyeru kepada ahli-ahli PAS dan Umno di cawangan, marilah sama-sama kita pupuk ukhwah ini, sering bertemu untuk mengadakan program-program bersama.

“Jangan tunggu program di peringkat kawasan,” kata yang dipetua PAS Kuala Selangor itu.

Himpunan Penyatuan Ummah itu akan berlangsung selama dua hari bermula 13 September di Kuala Lumpur.

Pada 14 September, Presiden kedua-dua parti, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang dijadualkan menandatangani piagam kerjasama Umno dan PAS di Pusat Dagangan Dunia Putra. – 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen