Pekerja main bola tampar di tapak ujian nuklear Korea Utara


Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un melambai ke arah rakyatnya pada sambutan ulang tahun pengasas rejim Korea Utara, Kim Il-Sung minggu lalu di mana ia mempamerkan ribuan anggota tentera dan peralatan perangnya dalam perarakan. – Gambar AFP, 19 April, 2017.

PEMERHATI Korea Utara semalam berkata mereka melihat ada aktiviti luar biasa berlaku di kawasan tersembunyi yang menjadi tapak ujian nuklear di negara itu – pekerja sedang bermain bola tampar.

Kumpulan pemantau 38 Utara berkata imej satelit yang dirakamkan pada Ahad menunjukkan kakitangan di berek pengawal dan dua lagi kawasan lain di tapak ujian Punggye-ri sedang bermain sukan popular itu.

“Tindakan bermain bola tampar di situ mencadangkan yang tapak itu mungkin akan beralih ke mod ‘standby’,” kata Joseph Bermudez, pakar dan penganalisis 38 Utara berpangkalan di Washington.

“Ia juga mencadangkan yang sukan itu diadakan dengan Korea Utara tahu kita akan melihat dan melaporkannya. Mesej Korea Utara ialah sama ada mereka meletakkan tapak itu dalam keadaan bersedia, atau mereka sedang cuba memperdaya kita.”

Minggu lalu 38 Utara berkata Punggye-ri dalam keadaan “sangat bersedia” untuk menjalankan ujian nuklear keenam, kemungkinan besar diadakan pada Sabtu lepas sempena sambutan ulang tahun pengasas rejim Korea Utara, Kim Il-Sung.

Tetapi ujian itu masih belum dilaksanakan, walaupun pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un cuba melancarkan peluru pada Ahad, dan Pentagon berkata ia meletup hampir serta-merta selepas dilancarkan.

Punggye-ri ialah kompleks terowong dan infrastruktur ujian di kawasan pergunungan di timur laut Korea Utara.

38 Utara berkata ia akan menyiarkan imej satelit itu tidak lama lagi.

Bermudez berkata imej itu menunjukkan beberapa kereta sorong perlombongan membuang bahan buangan ke dalam timbunan lebih besar di kawasan bawah tanah di pintu masuk utara tapak ujian itu. – AFP, 19 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen