PIHAK berkuasa Nigeria dan AS semalam berkata hampir 300 orang ditahan dalam operasi besar-besaran berbulan-bulan lamanya untuk melumpuhkan sindiket penipuan global yang menggodam pemindahan wang dalam talian dibuat syarikat dan individu.
“Operasi reWired” melumpuhkan beberapa sindiket, kebanyakannya beroperasi di peringkat antarabangsa, yang melakukan penipuan dengan menggodam email perniagaan (BEC) untuk merompak wang digunakan untuk pembayaran.
Sindiket itu yang menurut Jabatan Negara AS berasal dari Nigeria berlaku di seluruh dunia dan menyebabkan kerugian hampir AS$1.3 bilion pada 2018 sahaja, dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Operasi itu dilakukan pada Mei sehingga September, dengan Suruhanjaya Jenayah Ekonomi dan Kewangan Nigeria (EFCC) memberi tumpuan kepada pelumpuhan sindiket jenayah siber utama, kata Atase FBI Ahamdi Uche pada satu sidang media bersama di Lagos.
Operasi itu membawa kepada penahanan 167 orang di Nigeria, 74 di AS, 18 di Turki dan 15 di Ghana. Tangkapan turut dibuat di Perancis, Itali, Jepun, Malaysia, Britain dan Kenya, dengan 281 orang ditahan dan AS$3.7 juta dirampas dalam Operasi reWired, kata Jabatan Negara.
Kebanyakan negara miskin benua Afrika mencipta nama sebagai pusat penipuan dalam talian global.
Beberapa tokoh terkenalnya dikaitkan dengan aktiviti jenayah sering dipuja dalam budaya popular dan mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik.
FBI mula bekerjasama rapat dengan beberapa negara termasuk agensi anti rasuah Nigeria pada Mei 2019 untuk menghapuskan sindiket penipuan dalam talian di AS.
Pada 2018, agensi AS menerima 20,373 laporan BEC dengan kerugian lebih AS$1.2 bilion, kata Uche menyebabkan operasi penguatkuasaan besar-besaran dilancarkan. – AFP, 11 September, 2019.
Komen