APPLE mendedahkan iPhone 11 terbarunya semalam, dengan ciri terkini dan kamera ultra luas dalam usaha menambah baik siri telefon pintarnya yang mula dijual dengan harga AS$699.
Model terbaru itu dikeluarkna ketika Apple cuba merangsang pasaran telefon pintar global yang kini dalam kelembapan.
Siri iPhone terbaru itu dilengkapi dengan keupayaan baharu dan reka bentuk menakjubkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook pada majlis pelancaran di Cupertino, California.
Kejutan daripada Apple termasuklah penurunan harga permulaan kepada AS$699 berbanding AS$749 untuk iPhone XR tahun lepas.
Apple juga mendedahkan lebih banyak kelebihan untuk iPhone 11 Pro.
Ia juga mendedahkan tarikh pelancaran platform videonya, Apple TV+, serta perkhidmatan permainan videonya dalam usaha syarikat itu mengurangkan kebergantungan kepada iPhone.
Apple TV+ akan dilancarkan pada 1 November di lebih 100 buah negara dengan bayaran serendah AS$4.99 sebulan dan akan meliputi pelbagai rancangan, filem dan drama menakjubkan.
Ia akan bersaing dengan platform hiburan lain seperti Netflix dan Amazon.
Apple berkata pengguna yang membeli iPhone, iPad, Apple TV, iPod Touch atau Mac akan mendapat langgan percuma setahun Apple TV+.
Perkhidmatan permainan video, Apple Arcade pula akan dilancarkan minggu depan dengan harga permulaaan AS$4.99 sebulan untuk lebih 100 jenis permainan dibuat khusus untuk peranti Apple.
Apple juga mendedahkan model terkini tambah baik untuk iPad dan jam tangan pintarnya, Apple Watch. – AFP, 11 September, 2019.
Komen