7 ditahan dipercayai samun wang RM1.24 juta


POLIS menahan tujuh individu termasuk dua wanita dipercayai menyamun wang berjumlah RM1.24 juta daripada seorang lelaki warga Indonesia di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata kesemua suspek berusia 36 hingga 59 tahun ditahan dalam operasi selama tiga hari bermula Khamis lepas di sekitar Johor, Kedah, Singapura dan ibu negara.

“Polis masih memburu dua lagi individu dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Media tempatan hari ini melaporkan lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun itu datang ke negara ini bagi mengadakan rundingan bersama rakan niaga sebelum beg berisi wang tunai miliknya disamun oleh beberapa individu dalam kejadian di sebuah kondominium. – Bernama, 10 September, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen