Suhakam desak Putrajaya mansuh Akta Hasutan


Noel Achariam

Hak rakyat untuk bersuara perlu dijamin sepenuhnya dengan penghapusan Akta Hasutan, kata Suhakam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September Ogos, 2019.

KEBEBASAN bersuara sepenuhnya hanya akan berlaku apabila Putrajaya memansuhkan Akta Hasutan bagi membolehkan kebebasan bersuara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Othman Hashim. 

Othman memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak akan goyah dengan pendirian mereka untuk kerajaan memansuhkan undang-undang zalim itu. 

“Suhakam tetap dengan pendirian berhubung prinsip kebebasan bersuara, yang merupakan hak bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami percaya sesiapa yang menyuarakan pandangan berhubung hak asasi tidak perlu takut berdepan tindak balas atau ugutan,” katanya. 

Pada Julai, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan masih belum memutuskan untuk memansuhkan Akta Hasutan. 

Sejak Pakatan Harapan mengambil alih kuasa tahun lalu, kritikan semakin memundak terhadap pakatan pemerintah itu berhubung kegagalan mereka dalam menunaikan janji pilihan raya.

Muhyiddin berkata, undang-undang era penjajah itu masih sedang disemak dan kerajaan belum memutuskan sama ada ia akan dipinda atau dimansuhkan sama sekali. 

Tambahnya, ia masih dalam proses semakan dan mereka akan melihat sama ada terdapat sebarang peruntukan yang dianggap zalim. 

Othman berkata, ketika kerajaan melihat kepada pemansuhan undang-undang itu, mereka juga perlu mempunyai gantian yang sesuai. 

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Othman Hashim berkata, kerajaan juga perlu ada akta gantian yang sesuai dengan prinsip hak asasi manusia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September Ogos, 2019.

“Apabila mereka memansuhkan undang-undang berkenaan, ia perlu diganti dengan akta baharu yang mengambil kira semangat kebebasan bersuara, pembatasan hak tersebut serta unsur keharmonian dan keselamatan negara,” kata Othman.

Berhubung isu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Othman berkata ia perlu terbuka kepada semak dan imbang, dan setiap kes penahanan pencegahan mesti tertakluk kepada pengawasan kehakiman.

Sehubungan itu, katanya, pelanjutan tempoh penahanan selama 28 hari harus dilakukan melalui kehakiman untuk memastikan hak-hak suspek dilindungi.

“Suhakam menegaskan bahawa hak untuk perbicaraan yang adil dan proses wajar tidak boleh dibataskan, perkara ini dibincangkan pada pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri pada 29 Mac.”

Othman berkata, dalam mengekalkan ketelusan, Suhakam mencadangkan setiap tahun butiran laporan permohonan Sosma dihantar ke Parlimen oleh Kementerian Dalam Negeri. 

“Semasa bacaan kedua Sosma di Parlimen pada tahun 2012, beberapa perlindungan telah disebutkan, termasuk penubuhan jawatankuasa pentadbiran untuk mengkaji Sosma dan penguatkuasaannya, serta memberi cadangan untuk penambahbaikan.

“Ia menggariskan bahawa selain daripada agensi kerajaan, presiden Badan Peguam dan pengerusi Suhakam akan dimasukkan sebagai ahli jawatankuasa.”

Beliau menambah bahawa janji itu belum dipenuhi.

“Sekiranya kuasa yang luar biasa itu adalah untuk memberi kepentingan kepada orang ramai, adalah penting bahawa mereka hanya terhad kepada tujuan yang mereka maksudkan.” – 11 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen