Dr Harun Mat Piah, pakar manuskrip Melayu, meninggal dunia


Pakar manuskrip Melayu, Dr Harun Mat Piah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kajang hari ini. – Gambar Facebook, 10 September Ogos, 2019.

PAKAR manuskrip Melayu, Dr Harun Mat Piah, meninggal dunia selepas kereta yang beliau pandu terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kajang, Selangor, hari ini.

“Mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kajang,” kata Ketua Polis Daerah Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, seperti dipetik Bernama.

Jenazahnya dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Bandar Baru Bangi malam ini, selepas solat Isyak.

Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Harun, 82, adalah Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia.

Beliau juga pernah menyumbang kepakarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai timbalan pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Harun lahir di Kuala Kangsar pada 1937 dan merupakan guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur.

Beliau meninggalkan hasil kajiannya yang mendalam mengenai ilmu perubatan Melayu yang dirakamkannya dalam Kitab Tib yang terbit pada 2006.

Beliau juga mengumpulkan pantun Melayu dalam buku Bingkisan Permata (2001).– 10 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen