TEMA penyatuan ummah yang digunakan oleh Umno dan PAS dalam merealisasikan kerjasama politik kedua-dua politik itu akan terus dikekalkan kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf berkata laporan media yang mengatakan tema akan bertukar adalah salah kerana yang menjadi rahsia sehingga kini adalah nama piagam kerjasama itu.
“Tidak timbul soal hendak tukar ini. Tema penyatuan ummah ini akan kekal. Tajuk piagam itu nanti akan diisytiharkan pada 14 September nanti. Tajuknya biarlah presiden kedua-dua parti isytihar. Jika tidak nanti hilanglah kejutannya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Umno dan PAS mungkin akan menukar perpaduan ummah kepada perpaduan nasional untuk menjadikan ia lebih inklusif kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurut Asyraf, terdapat pihak yang cuba menimbulkan kekeliruan penyatuan ummah ini akan menjadikan gabungan kerjasama itu sebagai eksklusif untuk Melayu Islam dan menidakkan kaum lain.
Jelasnya, perkataan ummah itu sudah inklusif di mana Umno dan PAS memperakukan keindukan bangsa dan agama tetapi pada masa yang sama menghormati nilai kemajmukan dan keunikan negara ini.
“Ramai orang hendak memanipulasi seolah-olah penyatuan ummah ini akan menjadikan gabungan ini menjadi eksklusif. Kita Melayu Islam menidakkan kaum lain. Tidak pernah timbul sedikit pun.
“Kita pilih perkataan ummah kerana ia telah memberi makna yang inklusif. Kita tidak boleh menafikan Malaysia negara majmuk. Kita tidak akan kompromi atau tanggalkan daripada apa juga muafakat atau gabungan yang dilakukan oleh Umno dan PAS,” tegasnya.– 10 September, 2019
Komen