PAS tak perlu mohon maaf isu 'Umno kafir', kata Asyraf


SM Amin

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki ketika bercakap pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Bulanan Pergerakan Pemuda Umno di ibu pejabat Umno, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 September, 2019.

UMNO tidak akan mendesak PAS untuk memohon maaf susulan dakwaan parti Islam itu sebelum ini yang mendakwa parti itu itu kafir, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata, Umno dan PAS telah mengambil ketetapan untuk melupakan sengketa antara kedua-dua parti itu selama ini supaya dapat bergerak kehadapan melalui kerjasama yang akan ditandatangani secara rasmi Sabtu ini.

Jelasnya, Umno dan PAS sedang berusaha untuk membangunkan “Original Malaysia” berasaskan pemahaman yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Umno tidak akan desak PAS untuk mohon maaf kerana ianya bukan satu isu. Umno dan PAS bersetuju untuk melupakan apa sahaja yang berlaku pada masa lalu. Kita perlu bergerak ke hadapan.

“Kita perlu melihat apa masa depan negara ini. Kerjasama Umno dan PAS bukan hanya mengenai kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar di negara ini, tetapi ianya adalah usaha untuk membina semula negara,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Bulanan Pergerakan Pemuda Umno di ibu pejabat Umno, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang meminta Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan bahawa Umno kafir sebelum kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atau memeterai piagam.

Kata pengerusi Bersatu itu, jika PAS tidak menarik balik ‘gelaran’ itu maka parti tersebut juga disifatkan kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan Umno yang pernah dikatakan kafir dahulu.

Mengulas lanjut perkara itu, Asyraf meminta supaya Dr Mahathir terlebih dahulu memohon maaf kepada PAS terhadap apa yang berlaku dalam pentadbirannya sebelum ini seperti tragedi Memali.

“Sebelum Dr Mahathir meminta PAS untuk memohon maaf kepada Umno, saya harap Dr Mahathir boleh buat permohonan maaf secara terbuka atas apa yang berlaku dalam pentadbirannya sebelum ini.

“Sehingga kini Dr Mahathir tidak pernah memohon maaf kepada PAS berkaitan tragedi Memali,” katanya. – 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen