Syarikat minyak di Nigeria rugi 11,000 tong minyak sehari tahun lepas


Shell Petroleum Development Company (SPDC) di Nigeria mengesahkan syarikat itu kerugian kira-kira 11,000 tong minyak sehari di rantau Delta Niger pada 2018 akibat dicuri. – Gambar AFP, 10 September, 2019.

SHELL Petroleum Development Company (SPDC) di Nigeria mengesahkan syarikat itu kerugian kira-kira 11,000 tong minyak sehari di rantau Delta Niger pada 2018 akibat dicuri, berbanding lebih 9,000 tong sehari pada 2017, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap syarikat Igo Weli meminta bantuan kerajaan, komuniti dan pihak berkepentingan yang lain untuk membantu membendung kecurian daripada berterusan.

“Ini adalah aset kritikal negara dengan kerajaan mempunyai 55 peratus kepentingan  dan pendapatannya melebihi 90 peratus daripada pertukaran asing Nigeria,” katanya pada Isnin.

“Sebarang gangguan terhadap aset ini bermaksud pendapatan negara, ekonomi, kesihatan rakyat dan alam sekitar turut terjejas,” katanya.

Dalam laporan Jun 2019, Perbadanan Petroleum Nigeria berkata kegiatan vandalisme terhadap saluran paip minyak meningkat 77 peratus dan 106 aktiviti menceroboh direkodkan berbanding 60 pada Mei. – Bernama, 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen