Penyokong Aswaja pertahan Zamihan, dakwa dianiaya konspirasi Wahabi


Radzi Razak

Dr Zamihan Mat Zin mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu kedai dobi untuk orang Islam yang beroperasi di Muar, Johor. – Gambar Youtube, 12 Oktober, 2017.

PENYOKONG penceramah kontroversi Dr Zamihan Mat Zin menyifatkan guru agama itu teraniaya dan siasatan terhadapnya konspirasi golongan Wahabi untuk menyerang “seorang pejuang Islam”.

Penggerak Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Abu Syafiq Mohd Rasyiq Mohd Alwi malah menyifatkan golongan Wahabi yang membuat laporan polis terhadap Zamihan sebagai “jahiliah Quraisy yang bermesyuarat menentang seorang pejuang Islam”.

Katanya, kelompok Wahabi ini sudah lama berdendam dengan Zamihan kerana tegas menegakkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Ketegasan yang dimiliki beliau dalam menegakkan kebenaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia menjadikan puluhan ustaz-ustaz Wahabi tergolek merata tempat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada larangan tauliah mengajar agama kepada penceramah yang dianggap membawa fahaman Wahabi di Selangor dan Johor.

“Perkara ini membuatkan ramai kaum kaki membid’ahkan orang itu berkumpul baru-baru ini memikirkan bagaimana mahu ‘mengenakan’ DZ (Zamihan). Seperti kaum Jahiliyyah Quraisy yang bermesyuarat menyerang seorang pejuang Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Syafiq menambah kalau diteliti rakaman video ceramah Zamihan itu, tidak ada kenyataan yang menghina Sultan Johor atau hasutan dan perkauman.

“Tetapi yang jelas kita nampak di sana dendam kesumat Wahabi Takfiri sedang dimuntahkan ketika meneguk (sic) air yang keruh.”

Abu Syafiq yang juga seorang pendakwah bebas berkata laporan polis terhadap Zamihan telah dibuat oleh beberapa pendakwah yang menentang Zamihan dan Aswaja seperti Dr Rozaime Ramle dan Abdul Naser Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Xifu Naser.

Aswaja, pertubuhan yang dipengerusikan oleh Zamihan kerap kali bertembung pendapat dengan mereka termasuk Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, yang telah dihalang untuk berceramah di Johor tahun lalu.

Abu Syafiq turut mempersoalkan mengapa Rozaime dan yang lain-lain tidak pernah membuat laporan polis terhadap kenyataan Mohd Asri sebelum ini, juga berkaitan titah Sultan Johor dalam isu kedai dobi untuk orang Islam.

“DZ (Zamihan) langsung tidak menyebut Sultan Johor tapi Mufti Perlis jelas sebut ‘Sultan Johor Membunuh Pejuang Islam’. Pun begitu tiada siapa pun buat laporan polis kerana tahu dia bercakap atas dasar sejarah yang disangkanya.

“Maka di mana penghinaan DZ ke atas Sultan Johor dengan hanya menyebut ‘Tidak Patut Sultan Cakap Begitu’ berbanding tuduhan Mufti Perlis bahawa Sultan Johor membunuh,” kata beliau.

Beliau merujuk kepada kontroversi artikel Mohd Asri pada 4 Disember 2013 bertajuk Bangsawan Samseng yang mengkritik golongan diraja yang menggunakan kuasa untuk mendera rakyat biasa.

Bagaimanapun artikel Mohd Asri tidak merujuk mana-mana keluarga diraja yang melakukan demikian.

Artikel itu sebelum ini dijadikan oleh golongan lawan menuduh Mohd Asri menyindir sebilangan keluarga diraja negara ini.

Abu Syafiq turut menyatakan Zamihan tidak bersikap rasis sebaliknya hanya mementingkan kesucian yang menjadi sesuatu yang amat dipentingkan orang Islam lain.

Beliau menegaskan pendapat Zamihan itu turut dipersetujui Naib Perdana Menteri China, Wang Yang yang mengkritik kebersihan pendatang China.

“Naib Perdana Menteri Negara China Wang Yang kerap menyebut bahawa ramai di kalangan pelancong China apabila ke negara lain banyak membuat kekotoran dengan pelbagai cara. Walaupun kita semua tahu bukan semua orang China begitu namun hakikatnya ramai yang tahu. So (Jadi) rasislah Naib Perdana Menteri China ini kan?! Dengan hanya cakap begitu?!.

“Manakala DZ beliau membicarakan isu toharoh bersuci di sisi agama Islam yang mementingkan kesucian,” katanya lagi.

Zamihan ditahan polis selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi semalam hasil sebuah laporan polis.

Zamihan mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu kedai dobi untuk orang Islam yang beroperasi di Muar, Johor.

Zamihan hari ini direman dua hari bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 4A Akta Hasutan.

Zamihan, seorang bekas penceramah jabatan agama kerajaan dan kini pegawai agama Jabatan Penjara bagaimanapun menafikan mengkritik Sultan Johor, mengatakan yang dia hanya memberikan pandangan peribadi tentang keperluan orang Islam mempunyai dobi berasingan bagi menjaga “kesucian mereka”.

Pada ceramah agama Ahad lalu di Shah Alam, Zamihan didakwa berkata tidak wajar Sultan Ibrahim menghalang dobi untuk orang Islam sahaja di negerinya. – 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • This guy is anti-royalty non-Ulalam Islamic state. The police acted not because of what his Islamic view. Its his political view that he are against.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan

  • Hmmm, takde langsung sebut pasal komen terhadap kaum Cina

    4:135 Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Feisal Kamil · Ulasan