Polis tahan setiausaha politik Anwar untuk kes merusuh


Kalidevi Mogan Kumarappa

Setiausaha Presiden PKR Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 5 petang.– Gamnar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2019

POLIS menahan setiausaha Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dikehendaki berhubung kes merusuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata pengerusi PKR Perak itu ditangkap selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pagi ini.

“Suspek yang bekerja sebagai setiausaha politik telah memberikan kerjasama kepada polis dalam tindakan melengkapkan siasatan.

“Farhash kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 5 petang tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ujian air kencing juga didapati Farhash negatif dadah.

Farhash merupakan suspek utama dalam satu rusuhan bersenjata di Ampang dan dikehendaki polis sejak 3 September lalu.

Sewaktu dalam buruan polis, Farhash mengeluarkan kenyataan mendakwa lelaki yang diserang dalam kejadian itu cuba merogol isterinya dalam satu kejadian.

Kejadian merusuh pada malam 31 Ogos itu melibatkan seramai lebih 12 lelaki tempatan.

Tiga lagi suspek yang merupakan jurulatih seni bela diri sudahpun menyerahkan diri pada 3 September. – 10 September, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen