SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang dengan penahanan pengikut Syiah yang turut melibatkan kanak-kanak di Gombak baru-baru ini.
Malaysia tidak boleh mengakui sebagai sebuah negara yang majmuk jika hak yang saksama antara semua kumpulan agama tidak dipelihara, kata suruhanjaya itu.
“Kita tidak boleh mengakui bahawa kita sebenar-benarnya merupakan negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan melainkan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil menghormati dan bertolak-ansur amalan setiap individu.
“Hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.
“Suhakam berharap agar tali persaudaraan dan belas kasihan akan menjadi dasar yang menjadi asas pengukuhan masyarakat, bukan naluri yang memberi reaksi kebencian dn layanan buruk terhadap orang lain kerana perbezaan mereka. Hak untuk mengamalkan apa-apa agama perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan.”
Kenyaatan Suhakam itu bagi mengulas laporan mengenai serbuan di markas Syiah di Gombak oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 6 September. Seramai 22 orang ditahan, termasuk Pengerusi Syiah Malaysia Kamil Zuhairi Abdul Azizi.
Semalam, portal Free Malaysia Today melaporkan dua lagi serbuan dijalankan di Johor dan Selangor yang menjalankan majlis Asyura, sempena memperingati kematian cucu Nabi Muhammad, Hussein. – 10 September, 2019.
Komen