Bayi lelaki baru lahir ditemui atas meja kedai makan


SEORANG bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di atas meja sebuah kedai makan di Jalan Maktab, Tanjung Malim, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata bayi yang masih bernyawa berbalut dengan sehelai tuala berwarna kelabu itu ditemukan pada pukul 8.09 malam oleh seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun.

“Lelaki itu yang mahu makan di kedai makan milik anaknya selepas pulang dari menunaikan solat Maghrib di Masjid Jamek ternampak bayi lelaki berkenaan ditinggalkan di atas meja makan kedai.

“Bayi seberat 2.34 kilogram dengan ketinggian 48 sentimeter itu dibaluti dengan tuala berwarna kelabu dan tiada apa-apa kesan atau nota yang ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata hasil pemeriksaan lanjut daripada pegawai perubatan mendapati bayi yang baharu dilahirkan itu berada dalam keadaan sihat dan stabil serta tiada apa-apa kesan ditemukan.

Katanya, bayi tersebut kini ditempatkan di Wad Kecemasan Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata kes dilasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan. – Bernama, 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen