Sepanyol rai hari kebangsaan ketika krisis Catalonia masih berterusan


Perdana Menteri Mariano Rajoy memberi amaran akan menarik bali kuasa autonomi Catalonia jika berdegil untuk keluar dari Sepanyol. – Gambar AFP, 12 Oktober, 2017.

SEPANYOL meraikan hari kebangsaannya hari ini, sehari selepas kerajaan pusat memberikan pemimpin Catalonia tempoh hingga minggu depan untuk menjelaskan sama ada jadi atau tidak keputusan untuk keluar dari negara itu.

Negara itu sedang mengalami krisis politik terburuk selepas pihak pemisah di wilayah terkaya di bahagian timur laut negara itu mengundi dalam referendum yang diharamkan pada 1 Oktober lalu untuk keluar dari Sepanyol.

Perdana Menteri Mariano Rajoy dan Raja Felipe VI dijadualkan menghadiri acara tradisi, perarakan tentera di tengah Madrid, di mana bendera Sepanyol dipasang di balkoni dan tingkat sekitar bandar itu oleh penyokong pro perpaduan pada hari cuti umum di seluruh negara hari ini.

Pasukan tentera akan berbaris menuju boulevard Paseo de la Castellana untuk meraikan hari di mana Christopher Columbus kali pertama tiba di Amerika pada 1492, sementara himpunan pro perpaduan anjuran pihak berhaluan kanan dijangka diadakan di ibu kota Catalonia, Barcelona.

Rajoy berikrar untuk buat segala-galanya yang termampu bagi menghalang pemisahan Catalan dan kerajaannya, berkata kawalan kuasa akan dikenakan di wilayah itu jika terus berkeras untuk berpecah.

Amaran itu dibuat selepas Presiden Catalonia Carles Puigdemont mengumumkan pada Selasa yang beliau sudah menerima mandat untuk “Catalonia menjadi negara merdeka” dan menandatangani deklarasi kemerdekaan, tetapi meminta wakil rakyat menangguhkannya bagi membolehkan dialog bersama Madrid diadakan.

Kesahihan deklarasi itu daripada segi undang-undang masih tidak jelas.

Selepas mengadakan mesyuarat tergempar kabinet, Rajoy memberitahu wakil rakyat yang Puigdemont diberi tempoh hingga Isnin depan untuk memutuskan adakah beliau mahu meneruskan dengan pemisahan itu dan hingga Khamis depan bagi mempertimbangkan semula keputusan itu.

Dan jika tidak, Madrid akan menggantung autonomi wilayah Catalonia.

Pemimpin dunia sedang mengikuti rapat ketidaktentuan nasib wilayah dengan 7.5 juta penduduk itu yang menjejaskan keyakinan perniagaan, dengan beberapa syarikat tersenarai di bursa mula memindahkan ibu pejabat mereka keluar dari Catalonia. – AFP, 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen