BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) hari ini bertambah buruk apabila 15 kawasan di Semenanjung Malaysia mencatat bacaan tidak sihat, manakala keadaan tidak banyak berubah di Sarawak, menurut Jabatan Alam Sekitar.
Lima belas kawasan yang mencatat IPU tidak sihat setakat jam 11 pagi tadi ialah Klang, Johan Setia, Shah Alam, Petaling Jaya, Banting, Cheras, Batu Muda, Putrajaya, Nilai, Seremban, Port Dickson, Alor Gajah, Bukit Rampai, Tangkak dan Rompin.
Semalam, hanya empat kawasan di Semenanjung mencatat bacaan tidak sihat.
Setakat jam 11 pagi tadi, IPU Rompin tertinggi sebanyak 194, diikuti Johan Setia (160), Batu Muda (157), Cheras (150) dan Nilai (145), kawasan lain mencatat bacaan antara 103 sehingga 139.
Bacaan IPU dikelaskan kepada lima kategori; 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas dianggap berbahaya.
Di Sarawak, tidak banyak perubahan bacaan IPU di Samarahan, Kuching dan Sri Aman yang hanya bertukar daripada sangat tidak sihat kepada tidak sihat.
IPU di Sri Aman dicatat pada tahap 192, Kuching (144) dan Samarahan pada 121.
Semalam, Sri Aman mencatat IPU terburuk pada 241, Kuching (236), Samarahan (186), Sarikei (133), Sibu (115) dan Miri (103).
Sabah dan Labuan pula mencatat bacaan IPU sederhana setakat jam 10 pagi tadi.
Malam tadi, Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) dalam kenyataan berkata jerebu di Semenanjung berlaku kerana wujud titik panas di daerah Riau, Jambu, Sumatera Selatan dan Lampung.
“Asap tebal dan sederhana terus terhasil daripada titik panas di Riau dan Jambu, menyebabkan pengumpulan jerebu asap di sini.
“Asap jerebu itu kemudian ditiup oleh angin melintasi Selat Melaka ke kawasan barat Semenanjung Malaysia,” katanya.
Manakala, titik panas di barat, tengah dan selatan Kalimantan pula menyebabkan jerebu di Sarawak.
ASMC berkata berdasarkan corak gerakan angin semasa, ditambah dengan cuaca kering di banyak kawasan, fenomena jerebu rentas sempadan itu akan menjejaskan kawasan barat Sarawak dan Semenanjung Malaysia. – 10 September, 2019.
_bm.jpg)
Komen