HAMPIR 17,000 penumpang terkandas semalaman di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, kata pegawai hari ini, selepas ia terjejas kerana taufan yang menyebabkan kekecohan di seluruh kota itu.
Taufan itu menyebabkan lebih 100 penerbangan dibatalkan dan perkhidmatan kereta api dan jalan raya ke lapangan terbang itu juga terjejas, menyebabkan ramai penumpang tidak dapat ke bandar yang terletak 70 kilometer darinya.
Jurucakap lapangan terbang Kei Miyahara memberitahu AFP yang sejumlah 16,900 penumpang terkandas tengah malam tadi.
“Penumpang kini mula kembali ke rumah atau destinasi terakhir apabila bas dan kereta api menyambung perkhidmatan mereka,” katanya.
Lapangan Terbang Narita, terletak di Chiba di timur Tokyo, terjejas kerana Taufan Faxai yang membawa angin sekencang 207 kilometer sejam.
Perkhidmatan kereta api bandar di seluruh Tokyo juga ditutup dan hanya dibuka pada jam 8 pagi Isnin selepas pegawai memeriksa kerosakan.
Ia menyebabkan kekecohan ketika waktu puncak hari bekerja.
Ia berlaku ketika Jepun sedang bersedia menjadi tuan rumah Piala Dunia Ragbi bulan ini dan Sukan Olimpik 2020 tidak lama lagi.
Pihak pengurusan lapangan terbang berkata mereka mengedarkan 2,000 botol air, 19,000 paket biskut dan 18,000 tikar untuk penumpang terkandas.
“Kami menyampaikan maklumat dalam Bahasa Inggeris dan Jepun di papan tanda digital serta membuat pengumuman dalam empat bahasa,” termasuk Cina dan Korea, kata Miyahara.
Bagaimanapun, wujud kemarahan dalam kalangan penumpang kerana kekurangan maklumat dan masa lama untuk mendapatkan teksi.
Pengendali lapangan terbang akan menyemak semua aduan dan mengambil iktibar daripada kes itu, kata Miyahara. – AFP, 8 September, 2019.
Komen