KOREA Utara hari ini melancarkan peluru berpandu ke arah laut, kata tentera Korea Selatan, beberapa jam selepas Pyongyang berkata ia bersedia untuk mengadakan perbincangan peringkat jawatankuasa kerja dengan Amerika Syarikat (AS) pada akhir September.
Rundingan antara Pyongyang dan Washington menemui jalan buntu sejak sidang kemuncak kedua antara pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Presiden AS Donald Trump pada Februari yang berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Korea Utara melancarkan dua kali “peluru berpandu tidak dapat dikenal pasti” pada pagi ini ke arah timur dari wilayah Pyongan Selatan, kata ketua pasukan bersama Korea Selatan.
Tiada maklumat lanjut didapati tetapi ini adalah yang terbaru sejak kali terakhir pada Julai. Pelancaran sebelum ini dikenal pasti sebagai peluru berpandu jarak dekat.
Trump dan Kim bersetuju untuk memulakan semula dialog peringkat jawatankuasa kerja, pada mesyuarat bersama di Zon Bebas Tentera yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan pada Jun lalu, tetapi ia difahamkan masih belum bermula.
“Kami bersedia untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Amerika Syarikat pada akhir September ini, pada tarikh dan lokasi yang bakal kami persetujui,” kata Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Choe Son-hui dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Kenyataan Choe itu susulan amarannya pada akhir Ogos bahawa “harapan dialog Korea Utara dengan AS semakin hilang”, selepas Pyongyang melakukan ujian senjata bagi membantah latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan.
Ditanya mengenai cadangan rundingan peringkat rendah pada September, Trump memberitahu pemberita: “Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Pengerusi Kim. Saya selalu mengatakan mesyuarat adalah perkara yang baik. Kita akan lihat apa yang bakal berlaku.”
Tempoh yang dicadangkan oleh Korea Utara akan seiring dengan Perhimpunan Agung PBB di New York. – AFP, 10 September, 2019.
Komen