Keluarga ke Singapura untuk bawa pulang jasad Mugabe


Bekas presiden Zimbabwe Robert Mugabe meninggal dunia pada Jumaat di sebuah hospital di Singapura ketika menjalani rawatan di sana. – Gambar EPA, 10 September, 2019.

KELUARGA terdekat dan wakil kerajaan terbang dari Zimbabwe pada Isnin untuk menuntut mayat bekas presiden Robert Mugabe dari Singapura yang meninggal dunia minggu lalu, kata anak saudaranya.

Mugabe, seorang pemimpin gerila yang berkuasa selepas kemerdekaan Zimbabwe daripada Britain dan kemudian memerintah selama 37 tahun sehingga digulingkan pada 2017, meninggal pada Jumaat dalam usia 95 tahun.

Kesihatan Mugabe merosot selepas digulingkan oleh tentera dan bekas ahli partinya sendiri pada November 2017, mengakhiri pemerintahan zalim yang menghancurkan ekonomi negara.

Pesawat meninggalkan Harare pukul 9 pagi (0700 GMT) pada Isnin bersama keluarga dan ahli parti kanan dan dijangka pulang dengan mayat Mugabe pada Rabu pada 1300 GMT, kata anak saudara dan jurucakap keluarga Leo Mugabe kepada AFP.

Leo Mugabe berkata walaupun sedih dengan kematian pakciknya, beliau percaya Mugabe “berehat” selepas rampasan kuasa pada November 2017 apabila bekas orang kuatnya berpaling tadah.

Setibanya mayat Mugabe, ia akan dibawa terus ke kampungnya di Kutama, di daerah Zvimba, sekitar 90 kilometer (56 batu) barat ibu kota Harare.

Pada Khamis dan Jumaat, ia akan berada di Stadium Rufaro di perbandaran Mbare di Harare untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhirnya, kata Leo Mugabe.

Butiran tersebut disahkan oleh Menteri Penerangan Zimbabwe, Monica Mutsvangwa yang memberitahu pemberita bahawa upacara tersebut akan “membolehkan orang ramai dari semua wilayah memberi penghormatan terakhir kepada pahlawan perang pembebasan yang hebat.”

Stadium dengan kapasiti 35,000 tempat duduk adalah tempat di mana Mugabe mengangkat sumpah ketika perdana menteri Rhodesia Ian Smith menyerahkan negara itu.

Di sana Mugabe mengangkat bendera Zimbabwe yang baru dan menyalakan api kemerdekaan pada 18 April 1980 - membawa harapan untuk era baru setelah perang gerila yang panjang.

Pengebumian rasmi akan diadakan pada Sabtu di Stadium Sukan Nasional di Harare yang dijangka dihadiri pemimpin luar.

Bagaimanapun, lokasi pengebumian masih tidak jelas, dengan keluarga Mugabe dan Presiden Mnangagwa kelihatannya bertentangan pendapat sama ada ia akan ditanam di tempat tinggalnya di barat laut Harare atau di kuil untuk para pahlawan pembebasan di ibu kota.

Anak saudaranya mengatakan mengikut adat kaum Shona, ketua tradisional dari Zvimba akan memberi kata putus mengenai lokasi bekas pemimpin itu akan dikebumikan. – AFP, 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen