Lanjut umur persaraan satu cara tangani populasi tua, kata pakar


Khoo Gek San

Ketika ini, rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas terdiri daripada 9.5% penduduk mengikut kajian pada 2016 oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik. – Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2019.

PARA pakar bimbang kerajaan tidak memberi perhatian bagi menangani ekonomi apabila Malaysia menjadi masyarakat tua dalam tempoh 15 tahun.

Mereka berpendapat melanjutkan umur persaraan adalah salah satu cara untuk menghadapi cabaran yang akan berlaku apabila 7% penduduk Malaysia berusia 65 tahun atau lebih - definisi global untuk masyarakat tua. Negara yang menuju populasi tua adalah apabila 14% penduduknya berada dalam kumpulan umur itu.

Ketika ini, rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas terdiri daripada 9.5% penduduk mengikut kajian pada 2016 oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (Unescap).

Lee Heng Guie daripda Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) berkata pengalaman kerja pekerja yang lebih tua dapat terus menyumbang kepada negara dan ekonominya.

Beliau juga berpendapat melanjutkan tempoh persaraan tidak akan memudaratkan pengangguran belia yang kini berada pada tahap 10.3%.

Dasar penggajian semula boleh dilaksanakan oleh perusahaan swasta di dengan memberi kontrak baharu atau melanjutkan kontrak kepada mereka yang mencapai umur persaraan.

“Anda boleh membiarkan pesara mahir melatih orang muda. Pesara berusia 60 tahun boleh terus bekerja sehingga mereka berusia 62 atau 65 tahun. Ia tidak akan menjejaskan peluang orang muda,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

Malaysia menetapkan umur persaraan mandatori pada umur 60 pada 2013 namun kumpulan kesatuan pekerja mencadangkan supaya ia dilanjutkan kepada 65 tahun demi membantu meningkatkan tabungan warga emas.

“Bilangan pekerja asing yang sah dan tidak sah di negara ini antara 5 hingga 6 juta orang. Jika orang muda boleh mengambil pekerjaan ini tidak akan ada keperluan untuk pekerja asing,” kata Lee, pengarah eksekutif SERC.

“Kami juga harus menggalakkan golongan muda untuk memulakan perniagaan kecil di mana anda tidak memerlukan tahap pelaburan yang tinggi,” kata Lee sambil menambah program untuk membantu mereka melakukan ini ditawarkan oleh Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Cadangan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 65 tahun disuarakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagaimanapun Perdana Menteri Dr Mahatir Mohamad menolak idea tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pelanjutan usia persaraan akan meningkatkan jumlah pengangguran di kalangan belia kerana jumlah kekosongan jawatan akan berkurangan.

Ahli ekonomi Wong Chin Yoong dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata syarikat perlu mewujudkan tenaga kerja yang seimbang terdiri daripada pekerja berumur 60 tahun ke atas dan kalangan belia.

“Sesetengah syarikat akan kembali menggaji pekerja yang bersara selama satu atau dua tahun, tetapi ada juga beberapa pekerja yang tidak mahu menerima tawaran tersebut.”

Terdapat juga jawatan kosong pegawai kanan yang tidak boleh diisi pekerja muda kerana skop kerja yang berbeza.

“Walaupun umur persaraan dilanjutkan, ia tidak akan menghalang peluang promosi pekerja muda,” katanya. – 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen