'Rumah busuk' dibaik pulih jadi mahligai untuk golongan kurang mampu  


Mohd Farhan Darwis

Setiap 'rumah busuk' dijual semula dengan harga sehingga dua kali ganda selepas diubahsuai, namun ia bukan semata-mata bertujuan untuk mencari untung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 September, 2019.

BANYAK rumah terbiar dipenuhi belukar di sekitar Negeri Sembilan kini bertukar menjadi kediaman selesa untuk golongan kurang mampu hasil usaha anak muda seperti Shahrezad Musa, 31.

Beliau sudahpun mengubahsuai 17 buah rumah sejak 2012 di sekitar Negeri Sembilan untuk dijual semula kepada golongan itu, katanya kepada The Malaysian Insight.

Setiap “rumah busuk” dijual semula dengan harga sehingga dua kali ganda selepas diubahsuai, namun ia bukan semata-mata bertujuan untuk mencari untung, katanya.

Beliau yang menggerakkan usaha ini melalui kumpulan Seremban Investment Team berkata tumpuan mereka kini adalah untuk menyediakan rumah berharga kurang RM200,000.

Shahrezad yang mengusahakannya bersama tujuh lagi individu berkata mereka kini dapat berbuat demikian apabila berjaya meraih untung di peringkat awal.

“Sebelum ini kita sudah buat untung. Bila sudah ada keuntungan, beberapa ahli nampak kepakaran masing-masing, kami berbincang, apa kata kita pula bantu orang.

“Walaupun kita membantu kita masih lagi ada untung,” kata pengarah syarikat SP Property and Management itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau bermula dengan sebuah rumah terbiar di Senawang yang dibeli dengan harga RM80,000. Rumah tersebut diperbaiki dan diubahsuai dengan sokongan isterinya, seorang doktor.

Shahrezad juga meletakkan syarat ketat kepada pembeli rumah yang dibaik pulih oleh pihaknya bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 September, 2019.

Hasilnya, rumah tersebut dapat dijual semula dengan harga dua kali ganda, yang memberikannya semangat untuk mencari lebih banyak “rumah busuk” untuk dibaikpulih.

Mereka cuba menjual semula rumah tersebut dengan harga bawah RM300,000 dan meraih keuntungan bersih sekurang-kurangnya RM30,000.

“Kita kena jual bawah 300,000 ringgit dan cari unit berharga di bawah 150,000 ringgit, kita juga cari keadaan rumah yang teruk supaya tak digelar mengambil hak orang,” katanya.

Jelasnya langkah itu banyak membantu kerana pembeli kurang mampu akan dapat memohon pinjaman penuh bagi membeli rumah yang sudahpun siap diubahsuai.

“Senang cerita, mereka cuma perlu cuci kaki sahaja untuk masuk rumah baharu. Tak perlu ubahsuai rumah, segala-galanya sudah disiapkan untuk mereka

“Motif kita beli rumah busuk, ubahsuai, beri kesenangan kepada orang (pembeli), jual di bawah harga penilaian supaya pembeli boleh buat pinjaman penuh,” kata Shahrezad.

Harga rumah di Malaysia kini amat mahal pada kadar median RM313,000 dan di luar kemampuan rakyat yang menurut Bank Negara meraih pendapatan median sekitar RM5,228 sebulan.

Bank Negara juga menyebut, jumlah rumah mampu milik dalam kategori harga maksimum RM282,000 itu tidak memadai dengan permintaan.

Mengulas lanjut, Shahrezad berkata mereka berhasrat membantu antara tiga ke empat keluarga setiap tahun untjuk memiliki kediaman sendiri dengan harga mampu milik.

Bagi memastikan kelangsungan operasi tersebut, mereka akan menjual sekurang-kurangnya empat buah rumah dengan pulangan bersih sekurang-kurangnya RM30,000 seunit.

“Dalam tempoh setahun kita jual empat unit, kita ada RM120,000. Bahagi 12 bulan, kita masih ada gaji 10,000 ringgit di situ… tidak ada masalah.

“(Yang penting) kita tolong tiga ke empat keluarga (miliki rumah),” katanya.

Syarat ketat elak manipulasi

Beliau berkata, untuk tujuan itu, syarikatnya menetapkan syarat ketat terhadap pembeli bagi mengelakkan kediaman itu dibeli individu tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

“Biasanya kita cari mereka yang bergaji bawah RM2,000 berkeluarga, ada anak, kita juga akan semak latar belakang mereka, sama ada disenarai hitamkan atau tidak.

“(Kita juga semak) sama ada mereka sudah ada hartanah atau tidak, berapa lama bekerja, berapa lama berkahwin untuk pastikan mereka tak gunakan untuk tujuan lain, seperti sewakan atau buat pelaburan,” kata Shahrezad lagi.

Menurutnya, kebanyakan rumah ditinggalkan kerana pemiliknya mengalami masalah kewangan atau masalah keluarga.

Selain itu terdapat juga rumah milik penjawat awam yang tidak sedar bahawa mereka memiliki rumah tersebut.

Antara rumah yang yang berjaya dibaik pulih dari keadaan terbiar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 September, 2019.

“Kebanyakannya mereka tak sedar mereka ada rumah ini. Pembayaran pula dibuat melalui tolakan gaji automatik, mereka tidak sedar gaji bulanan itu beserta bayaran harga rumah,” katanya.

Shahrezad berkata, SIT juga berhasrat membantu kerajaan kerajaan menyediakan kediaman mampu milik untuk rakyat dan mengurangkan lambakan rumah terbiar.

Sehingga hari ini, Shahrezad berjaya membantu kira-kira 17 keluarga daripada kumpulan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman mereka sendiri.

“Saya percaya, keluarga itu bermula dari rumah. Kalau rumah kita teruk, anak tidak selesa, mereka akan keluar dan bersosial di luar.

“Semuanya bermula dari rumah,” katanya, yang bakal menimang cahaya mata pertama pada Oktober..

Salah seorang pelanggannya, Mohamad Akmal Shafie, memberitahu The Malaysian Insight, beliau seolah-olah mendapat durian runtuh apabila membeli kediaman daripada Shahrezad.

“Kelebihannya adalah dari segi harga, kawasan yang starategik serta pelbagai kemudahan berdekatan dengan unit rumah,” kata Mohamad, 28.

Bapa kepada seorang anak yang bekerja dalam sektor swasta itu membeli seunit rumah teres satu tingkat di Rembau daripada Shahrezad pada Mei lalu, yang berharga RM160,000.

“Harga serta kawasan unit rumah yang dimiliki beliau bertepatan dengan kemahuan saya,” katanya lagi. – 10 September, 2019.

 

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen