RATUSAN warga Syria mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah rejim Syria di wilayah Idlib yang mana gencatan senjata menghentikan pertempuran yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Sesetengah penunjuk perasaan berhimpun berhampiran sempadan Turki di Bab al-Hawa, yang mana pengawal sempadan Turki minggu lalu melepaskan tembakan amaran dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan Syria.
Mereka mengibarkan bendera Syria dan melaungkan kata-kata menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, manakala segelintir lagi menggesa Turki membuka pintu sempadan.
“Kami hanya mahu kerajaan Turki membuka pintu sempadan kepada saudara kami yang terpaksa tinggal di bawah pokok zaitun,” kata seorang penunjuk perasaan Abu Haytham, kepada AFP, merujuk kepada penduduk Syria yang hilang tempat kediaman dan teraksa tinggal di kawasan terbuka.
Tunjuk perasaan itu berlaku selepas sekutu Damsyik, Rusia mengumumkan gencatan senjata bagi wilayah Idlib Jumaat lalu.
Sejak perjanjian itu Sabtu lalu, serangan udara telah terhenti, namun kereta kebal terus melepaskan tembakan.
Rejim Syria yang disokong Rusia memberi tekanan dengan menyerang Idlib sejak akhir April lalu.
Lebih 960 orang awam terbunuh dalam siri pengeboman sejak empat bulan lalu, menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu berkata, lebih 400,000 orang terpaksa dipindahkan. – AFP, 9 September, 2019.
Komen