SEORANG profesor undang-undang yang didakwa terlibat dengan skandal memulakan tugas sebagai menteri undang-undang Korea Selatan selepas menerima persetujuan presiden negara itu pada hari Isnin.
Siasatan ketika ini masih dijalankan pendakwa raya terhadap dakwaan salah laku isterinya.
Cho Kuk dilantik ke jawatan itu oleh Presiden Moon Jae-in yang berkata lantikan tersebut adalah demi melakukan perubahan di Jabatan Pendakwa Raya.
Cho yang merupakan kegemaran golongan liberal dinamakan sebagai menteri oleh presiden yang turut dikenali sebagai bekas peguam hak asasi manusia bulan lalu bagi untuk memimpin kementerian tersebut.
Bagaimanapun, proses pengesahannya sebagai menteri menjadi perdebatan apabila soalan dibangkitkan mengenai sekolah anak perempuan Cho dan pelaburan saudara-maranya dalam dana ekuiti swasta yang operasinya diragui.
Pegawai dari Jabatan Pendakwa Raya yang bakal dipimpin Cho telah melakukan beberapa serbuan sejak dua minggu lalu berhubung skandal tersebut.
Minggu lalu, isterinya, profesor Chung Kyung-sim, didakwa oleh mahkamah kerana membuat pemalsuan anugerah kolej untuk anak perempuan mereka.
Presiden Moon mengakui dalam satu kenyataan di televisyen pada hari Isnin bahawa kini terdapat “perpuakan tajam” antara pengkritik dan penyokong Cho, dan turut menambah beliau turut “disakiti” selepas membuat keputusan itu.
Namun beliau berkata dirinya tetap kukuh dengan pilihannya kerana ia akan meninggalkan “sejarah buruk” jika beliau tidak menggugurkan pencalonan Cho jika Cho terbukti tidak terlibat dengan pelanggaran undang-undang.
“Saya fikir lebih penting untuk mengikuti prinsip dan konsisten,” katanya.
Pada majlis rasmi pelantikannya pada hari Isnin, Cho memohon maaf kerana menimbulkan kebimbangan dan mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan pembaharuan.
“Saya telah ditugaskan dengan tugas yang sangat penting pada masa yang sukar,” kata Cho.
“Bahu saya berat kerana saya sedar bahawa jalan yang sukar dan berliku terletak di hadapan kita.”
Korea Selatan adalah masyarakat yang berdaya saing di mana sekolah elit sering dikritik - termasuk oleh Cho, yang mengatakan ia mencipta “masyarakat yang lebih tidak adil”.
Bagaimanapun beliau digelar sebagai hipokrit apabila didedahkan bahawa beliau sendiri menghantar anaknya ke institusi itu dan isterinya dikatakan mendapat manfaat keranan mempunyai hubungan jaringan keluarga. – AFP, 9 September, 2019.
Komen