Australia dijangka berdepan kebakaran hutan paling buruk 


Kebakaran tercetus di Queensland dan New South Wales telah merosakkan puluhan bangunan dan kediaman serta memaksa ribuan penduduk berpindah.– Gambar EPA, 9 September, 2019.

AUSTRALIA berusaha untuk memadamkan 160 kebakaran hutan di timur negara itu pada Isnin, yang merupakan permulaan awal kepada musim kebakaran hutan yang mana pihak berkuasa memberi amaran ia mungkin terburuk dalam beberapa dekad.

Kemarau dan angin kencang memburukkan lagi keadaan yang mana kebakaran tercetus di Queensland dan New South Wales telah merosakkan puluhan bangunan dan kediaman serta memaksa ribuan penduduk berpindah.

Cuaca panas dan kering Australia menjadikan kebakaran hutan satu kebiasaan, namun menurut saintis perubahan cuaca menjadikan kebakaran itu semakin buruk.

Penyelidik kerajaan meramalkan dalam tempoh enam bulan akan datang di hemisfera selatan, musim bunga dan musim panas “berpotensi menjadi musim aktif” kerana cuaca panas dan kering bermula.

Penolong pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan dan Bomba Queensland, Brad Commens memberitahu AFP, musim kebakaran hutan yang berlaku awal mengejutkan pihak berkuasa.

Kebiasaannya pada awal September, kakitangannya hanya membuat kerja-kerja perancangan dan persediaan namun kali ini mereka dipanggil untuk memadamkan kebakaran.

“Ketika ini, pemulaannya sangat awal jadi agak sukar untuk meeramal berapa lama ia akan berterusan, namun yang pasti ia tidak pernah saya lihat dalam tempoh 30 tahun ini,” katanya.

“Tanpa hujan atau perubahan cuaca, saya rasa kita berdepan musim yang panjang.”

Musim kebakaran hutan biasanya berlaku pada September di utara Queensland dan akan merebak secara perlahan ke negeri di timur Australia, di New South Wales sekitar Christmas, dan Victoria dan Tasmania pada Januari dan Februari.

Namun kini ia sudah melanda kawasan Queensland dan New South Wales yan mana 70 kes kebakaran dan 99% negara itu diisytiharkan mengalami kemarau pada Mei lalu. – AFP, 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen