Kabinet baharu Sudan angkat sumpah


Kabinet baharu diketuai oleh Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok mengangkat sumpah di istana presiden di Khartoum semalam. – Gambar AFP, 9 September, 2019.

KABINET pertama Sudan selepas penggulingan bekas presiden Omar al-Bashir mengangkat sumpah semalam.

Kabinet yang terdiri daripada 18 anggota termasuk empat wanita itu mengangkat sumpah di istana presiden di Khartoum. Upacara diketuai oleh Perdana Menteri Abdalla Hamdok.

Barisan Kabinet ini dijangka menguruskan negara sepanjang tempoh peralihan selama 39 bulan.

Ia dibentuk bulan lepas selepas Sudan berikrar dalam “majlis berdaulat” iaitu badan pemerintah yang bertujuan untuk memantau proses peralihan itu. Majlis itu turut disertai pasukan tentera.

Penubuhan majlis adalah hasil perkongsian kuasa antara penunjuk perasaan dengan tentera yang merampas kuasa selepas Bashir digulingkan pada April.

Kabinet Hamdok yang menampilkan menteri luar negara wanita pertama Sudan, akan dijangka akan memimpin negara itu menempuhi pelbagai cabaran termasuk menamatkan konflik dalaman di tiga wilayah.

Kumpulan pemberontak di tiga wilayah terpencil iaitu Darfur, Blue Nile and Kordofan Selatan sudah lama melancarkan perang terhadap tentera Bashir.

“Kita perlu berusaha keras untuk memenuhi permintaan rakyat,” kata Menteri Penerangan Faisal Mohamed Saleh yang ditemui ketika majlis angkat sumpah.

“Dunia sedang memerhatikan kita. Dunia teranti-nanti bagaimana kita menyelesaikan masalah negara.”

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Sudan Walaa Issam pula berkata cabaran yang bakal ditempuhi para menteri bukanlah mudah dan memerlukan banyak usaha. 

“Perjalanan kita tidak mudah. Kita akan berdepan banyak halangan tetapi kita akan tetap hadapinya,” katanya. – AFP, 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen