CEO Nissan dilapor akan letak jawatan


CEO Nissan Hiroto Saikawa dilaporkan menerima gaji melebihi dari yang sepatutnya. – Gambar AFP, 9 September, 2019.

KETUA pegawai eksekutif (CEO) Nissan yang dilanda krisis akan meletak jawatan, selepas mengakui menerima gaji melebihi dari yang sepatutnya, lapor media tempatan hari ini.

Laporan menyebut Hiroto Saikawa tidak menyatakan tarikh sebenar peletakan jawatan.

Syarikat pembuatan kereta itu mengalami krisis selepas bekas ketuanya, Carlos Ghosn didakwa atas salah laku kewangan.

Nissan berkata ia tidak dapat memberi komen segera berita yang dilaporkan akhbar perniagaan, Nikkei.

Menurut Nikkei, Saikawa memberitahu beberapa eksekutif Nissan mengenai hasrat meletak jawatan, tetapi tidak menyatakan bila atau siapakah pengganti beliau.

Laporan Nikkei itu muncul beberapa hari selepas Saikawa mengaku siasatan dalaman Nissan mendedahkan beliau menerima gaji melebihi yang sepatutnya.

Saikawa disyaki menerima tambahan 47 juta yen (AS$440,000) dengan mengubah terma penerimaan bonus, kata akhbar itu.

Nissan belum mengesahkan butiran pembayaran tersebut, tetapi Saikawa meminta maaf walaupun nafi melakukan sebarang kesalahan.

“Saya serahkan perkara itu kepada orang lain, jadi saya sangka ia telah diselesaikan,” katanya kepada pemberita.

Nissan dijangka akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah hari ini, di mana butiran siasatan akan didedahkan nanti.

Nissan kini sedang menjalani rombakan untuk mengukuhkan pentadbiran ekoran timbul skandal Ghosn. – AFP, 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen