Rundingan RCEP di Vietnam hujung bulan ini, kata TPM Thailand


Rundingan RCEP dilancarkan semasa Sidang Kemuncak Asean ke-21 pada November 2012 di Phnom Penh, Kemboja. – Gambar AFP, 9 September, 2019.

SATU lagi rundingan pegawai kanan bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan berlangsung di Da Nang, Vietnam bulan ini bagi memuktamadkan cadangan perjanjian perdagangan bebas serantau itu menjelang November.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Thailand Jurin Laksanawisit berkata pegawai-pegawai kanan negara-negara anggota Asean dan rakan dialog akan bersidang di  Da Nang dari 19 hingga 27 September sebelum mengemukakan cadangan itu kepada pemimpin-pemimpin semasa sidang kemuncak  Asean di Bangkok pada November.

“Semua menteri bersetuju untuk menerima perjanjian itu (RCEP) dalam tahun ini juga oleh kerana ia merupakan alat menggalakkan pertumbuhan perdagangan dan ekonomi di rantau ini ketika wujud ketidaktentuan keadaan ekonomi.

“Semua menteri telah mengarahkan pegawai-pegawai mereka mencari jalan dan cara tolak ansur ke arah mencapai persetujuan pada mesyuarat peringkat akhir bulan ini,” katanya pada media conferencing selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Menteri RCEP Ke-7 bersempena Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean Ke-51 di Bangkok semalam. 

Menteri ekonomi dan perdagangan dari 10 negara anggota Asean dan enam rakan dialog hadir  pada mesyuarat hari ini. Malaysia diwakili Menteri Perdagangan dan Perindustrian Darell Leiking.

Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Perdagangan RCEP yang diadakan semalam sepatutnya merupakan rundingan terakhir dalam siri rundingan tahun ini.

Perjanjian itu berkemungkinan ditandatangani tahun depan jika rundingan itu dapat dibereskan pada mesyuarat November di Bangkok.

Dilaporkan kira-kira 80% perjanjian sudah siap dengan rundingan menyentuh kandungan dalam perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan profesional yang baru disediakan.

RCEP adalah perjanjian perdagangan multilateral dalam kalangan 10 negara anggota Asean - Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam - dan enam rakan FTA iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Rundingan RCEP dilancarkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 pada November 2012 di Phnom Penh, Kemboja.

Perjanjian perdagangan itu meliputi populasi 3.4 bilion dengan jumlah produk domestik kasar (GDP) bernilai AS$49.5 trilion, atau kira-kira 39% daripada GDP dunia. – Bernama, 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen