2 maut, 13 kritikal lepas hadir upacara agama di Sri Lanka


kira-kira 10,000 orang termasuk mereka yang sakit teruk, berkumpul di sebuah sekolah apabila seorang lelaki mendakwa mampu mengubati mereka yang sakit menggunakan kuasa tuhan dan Buddha. – Gambar AFP, 8 September, 2019.

DUA orang meninggal dunia akibat keletihan haba selepas menghadiri sesi rawatan dalam satu upacara agama di timur laut Sri Lanka.

Polis berkata kejadian itu berlaku di pekan Horowupotana, 260 kilometer dari ibu negara Colombo.

Kata polis, kira-kira 10,000 orang termasuk mereka yang sakit teruk, berkumpul di sebuah sekolah apabila seorang lelaki mendakwa mampu mengubati mereka yang sakit menggunakan kuasa tuhan dan Buddha.

“18 orang dibawa ke hospital akibat keletihan haba dan 13 daripadanya dalam keadaan kritikal,” kata polis.

Upacara itu diadakan ketika suhu mencecah 37 darjah Celsius di kawasan itu.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Deegoda Kumara menafikan bahawa dia menyebabkan kematian itu dan menuduh media tempatan membuat fitnah tentang usahanya.

Dalam satu video di YouTube, Kumara mendakwa berjaya memulihkan seorang mangsa kemalangan jalan raya yang koma di sebuah hospital.

Dia mendakwa merawat mangsa selepas bercakap dengan ahli keluarga mangsa menerusi telefon.  – AFP,  8 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen