AKTIVIS demokrasi Hong Kong Joshua Wong berkata dia telah ditangkap hari ini kerana melanggar syarat ikat jamin ketika pulang dari perjalanan ke Taiwan.
Wong, 22, adalah antara pendokong demokrasi terkenal yang ditahan akhir bulan lalu dalam satu sebelum sempat memimpin satu lagi tunjuk perasaan.
Dia dituduh menghasut orang lain untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan yang tidak dibenarkan dan dibebaskan kemudian dengan jaminan.
Minggu lepas Wong pergi ke Taiwan untuk bertemu dengan ahli politik tempatan dan memberi ucapan mengenai perjuangan demokrasi Hong Kong.
Wong ditangkap ketika pulang pagi ini.
“Saya ditangkap polis kerana melanggar syarat jaminan pagi ini di kastam lapangan terbang dan sekarang saya berada dalam tahanan.
“Diharapkan saya akan dibebaskan selepas perbicaraan esok. Saya harap kawan-kawan tidak terlalu bimbang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh partinya Demosisto.
Polis Hong Kong tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung tangkapan aktivis berkenaan.
Wong memulakan kerjayanya sebagai seorang aktivis ketika berusia 12 tahun.
Dia pernah dipenjara kerana terlibat dalam protes. – AFP, September 8, 2019.
Komen