PERANCIS menggesa Iran untuk menghentikan tindakannya mengabaikan satu perjanjian nuklear dan menyatakan bahawa saluran untuk berdialog masih terbuka.
Gesaan itu disuarakan oleh Meneteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian sehari selepas Teheran mengumumkan untuk memulakan proses pengkayaan uranimum ke peringkat yang lebih tinggi.
Keputusan itu dilihat sebagai langkah terkebelakang daripada komitmen yang dicapai dalam perjanjian nuklear pada 2015.
Ia telah diputuskan walaupun negara Eropah yang diketuai Paris mahu Iran menghormati perjanjian itu yang menyaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik diri pada tahun lalu.
Le Drian berkata AS merupakan pihak pertama yang menjejaskan perjanjian itu.
“Perjanjian itu yang ditandatangani beberapa negara, antaranya AS yang tidak lagi terikat dengannya,” katanya.
Washington kemudiannya mengenakan sekatan yang lebih ketat terhadap Iran dengan alasan Teheran tidak mematuhi perjanjian itu, kata Le Drian.
“Keputusan itu tidak bagus untuk semua pihak. Ketegangan hanya akan merebak apabila Iran bertindak balas terhadap keputusan AS,” katanya. – AFP, 8 September, 2019.
Komen