Isu Rohingya: Majlis Keselamatan PBB dengar taklimat Kofi Annan


Bekas setiausaha agung PBB Kofi Annan dalam laporannya mencadangkan kempen ketenteraan ditamatkan di Rakhine. – Gambar AFP, 12 Oktober, 2017.

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung isu di Myanmar untuk mendengar butiran lengkap daripada bekas setiausaha agung PBB Kofi Annan mengenai nasib Muslim Rohingya di sana, kata diplomat.

Pegawai hal ehwal politik PBB Jeffrey Feltman akan ke Myanmar pada Jumaat ini selama empat hari dalam rundingan berkenaan krisis itu.

Lebih 500,000 orang kebanyakannya Rohingya melarikan diri sejak Ogos susulan kempen kekerasan tentera di Rakhine, di mana PBB menyifatkannya sebagai tindakan pembersihan etnik.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mendesak kempen ketenteraan ditamatkan, akses kepada kumpulan bantuan dibuka untuk masuk ke perkampungan yang dibakar di Rakhine dan memberikan laluan selamat bagi membolehkan Rohingya pulang.

Pada penghujung Ogos, Annan membentangkan laporan akhir suruhanjaya penasihat mengenai Rakhine yang dipengerusikannya atas permintaan pemimpin de fakto Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Laporan itu mendesak tindakan segera pihak berkuasa Myanmar untuk menangani nasib Rohingya, yang tiada taraf warganegara dan berdepan diskriminasi sejak sekian lama dalam negara majoriti Buddha itu.

Perancis dan Britain memohon untuk berjumpa dengan Annan kerana majlis itu sedang mempertimbangkan langkah yang akan diambil untuk berdepan krisis itu. – AFP, 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen