TENTERA Israel menggempur beberapa kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza sebagai membalas serangan dron dari wilayah Palestin itu.
Serangan itu berlaku dua hari selepas insiden berbalas serangan di sempadan Gaza-Israel yang menyaksikan dua remaja Palestin maut.
Susulan serangan dron awal Sabtu, jet dan dron Israel menggempur beberapa lokasi Hamas termasuk memusnahkan peralatan kapal dan dua kubu tentera.
Sumber keselamatan di Gaza berkata Israel menyerang empat lokasi briged Al-Qassam di tengah dan utara Gaza.
Katanya serangan itu menyebabkan kerosakan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut rejim Israel, sebuah dron dilancarkan dari selatan Gaza melintasi ruang udara Israel dan menggugurkan objek yang dipercayai bahan letupan dekat pagar keselamatan.
Serangan itu menyebabkan sebuah kenderaan tentera rosak dan dron itu selamat kembali ke Gaza.
Sebuah pesawat Israel melancarkan serangan terhadap skuad yang mengawal dron itu tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serbuan itu.
Pada Jumaat, dua remaja Palestin dibunuh tentera Israel ekoran pertempuran di sempadan Gaza manakala 46 mangsa lagi cedera akibat ditembak peluru hidup. – AFP, 8 September, 2019.
Komen