AMERIKA Syarikat dan Turki hari ini memulakan kawalan bersama di timur laut Syria bagi meredakan ketegangan antara Ankara dan tentera Kurdish yang disokong Washington.
Enam kereta perisai Turki melintasi sempadan untuk menyertai tentera AS di Syria buat kali pertama di bawah perjanjian yang dicapai antara Ankara dan Washington.
Dua helikopter turut kelihatan di kawasan itu ketika kenderaan tentera Turki melepasi kawasan dinding konkrit yang memisahkan kedua-dua negara.
Perjanjian itu dicapai pada 7 Ogos lalu bagi mewujudkan zon selamat antara sempada Turki dan Syria yang dikawal oleh militia Kurdish, YPG.
YPG merupakan sekutu AS tetapi dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh Turki.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengancam untuk melancarkan operasi terhadap YPG di Syria melainkan zon selamat diwujudkan.
Erdogan berkata rakan sejawatnya Donald Trump sudah berjanji untuk menetapkan kawasan seluas 32 kilometer bagi tujuan itu.
Satu operasi bersama turut diadakan baru-baru ini sebagai sebahagian perjanjian itu.
Turki sebelum ini melancarkan operasi rentas sempadan di utara Syria bagi menyokong pemberontak Syria menentang militan Daesh pada 2016 dan operasi menentang YPG pada tahun lalu. – AFP, 8 September, 2019.
Komen