Petugas perlu bijak kawal tekanan ketika berdepan bencana, kata MB Johor


Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal hari ini menasihatkan semua petugas dari pelbagai agensi supaya bijak mengawal tekanan dalam berhadapan situasi panik, ketika bencana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2019.

MENTERI Besar Johor Dr Sahruddin Jamal hari ini menasihatkan semua petugas dari pelbagai agensi, yang terlibat di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri ini, supaya bijak mengawal tekanan dalam berhadapan situasi panik, ketika bencana.

Katanya kejadian seperti pencemaran udara di Pasir Gudang dan kebakaran hutan di Gelang Patah baru-baru ini, boleh diuruskan dengan lebih berhemah, jika setiap petugas dapat mengawal situasi.

“Kadang-kadang kejadian ini kita boleh selesaikan, tetapi bila panik, stress, kejadian yang kecil boleh jadi lebih besar. Jadi, belajar-belajarlah untuk mengawal stress,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor, Peringkat Johor Bahru di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri menerusi jabatan dan agensi berkaitan sudah mengambil pendekatan strategik, terancang, dan sistematik, dalam menguruskan kejadian pencemaran dan kebakaran itu.

Beliau berkata setiap jabatan dan agensi turut memberikan tindak balas yang pantas, sebaik sahaja berlakunya kejadian tersebut dan tidak berlengah dalam membuat keputusan, kerana keutamaan sentiasa diberikan kepada rakyat Johor, khususnya masyarakat yang berada di kawasan terjejas.

“Setiap keputusan dibuat secara kolektif, antara kerajaan negeri dengan jabatan dan agensi yang terlibat serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, demi memastikan bencana yang berlaku itu diuruskan dengan baik dan menyeluruh.

“Tidak terhenti setakat itu, tindakan-tindakan pasca bencana juga dilaksanakan, membabitkan soal pemantauan, penguatkuasaan dan libat urus agar kejadian tidak berulang di masa akan datang,” katanya lagi.

Pada majlis apresiasi itu, sebanyak 38 agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menerima penghargaan atas sumbangan menangani kejadian pencemaran di Pasir Gudang, dan kebakaran di Gelang Patah itu. – Bernama, 5 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen