Sarawak mahu peruntukan RM12 bilion bina jalan keselamatan sempadan


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri James Masing berkata kerajaan negeri pernah menghantar usul tersebut beberapa tahun lalu kepada menteri pertahanan ketika itu, Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2019.

SARAWAK akan meghantar usul baharu kepada Putrajaya untuk membina jalan keselamatan sempadan bagi memudahkan pergerakan tentera untuk mengawal laluan sempada Sarawak-Kalimantan sepanjang 1,000 kilometer.

Timbalan Ketua Menteri James Masing memberitahu The Malaysian Insight bahawa kerajaan negeri pernah menghantar usul itu beberapa tahun lalu kepada menteri pertahanan ketika itu, Zahid Hamidi.

Zahid, yang merupakan bekas perdana  menteri dan kini presiden Umno, menjadi menteri pertahanan bermula April 2009 hingga Mei 2013.

“Zahid pada ketika itu bersetuju dengan proposal tersebut tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku.

“Mungkin ia hilang akibat kerenah birokrasi atau masalah politik selepas pilihan raya umum (Mei 2018),” katanya.

Jalan itu yang dianggarkan sepanjang 890 kilometer, akan melibatkan laluan di sepanjang sempadan dari pekan Sematan di selatan Sarawak ke Lawas di bahagian utara.

Projek itu akan menelan kos antara RM10 bilion ke RM12 bilion bagi jalan jenis R3.

Spesifikasi jalan jenis JKR R3 adalah tiga meter lebar dan had kelajuan 70 kilometer sejam.

Jalan ini dikategorikan sebagai jalan pilihan kedua.

“Tidak ragu-ragu lagi. Kita perlu membina jalan ini untuk keselamatan negara dan Sarawak.

“Kita perlukannya untuk membolehkan pasukan sempadan, yang kini berpangkalan di kem yang jauh dari sempadan,  mendapat bekalan logisitik dengan cepat jika berlaku insiden di sempadan atau menghantar tentera di pos kawalan dengan lebih cepat,” kata Masing.

“Buat masa ini, mereka tidak boleh (mengawal sempadan dengan efektif.”

Sarawak mempunyai beberapa batalion pasukan keselamatan sempadan termasuk di Sibu, Bintulu dan Kapit.

Kesemua pekan ini bukan hanya terletak jauh dari sempadan, tetapi juga tidak mempunyai akses jalan terus ke sempadan.

Selain menggunakan helikopter, tentera perlu mengambil masa sehari atau dua hari merentasi sungai dan jalan hutan untuk tiba di sempadan. – 8 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen