TAUFAN kuat dengan angin kencang dan hujan lebat dijangka membadai Tokyo lewat hari ini, dengan pihak berkuasa memberi amaran tentang ombak besar, tanah runtuh dan banjir kilat.
Taufan Faxai, dengan angin selaju 216 kilometer sejam, dijangka membadai pesisir pantai Tokyo lewat malam ini sehingga pagi Isnin, kata agensi kaji cuaca Jepun.
“Tolong beri perhatian penuh kepada angin kencang dan ombak tinggi dan berhati-hati dengan tanah runtuh, banjir dan air sungai melimpah,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Pegawai Naoji Nakamura memberitahu wartawan yang angin kencang itu dijangka mencatat sejarah kaji cuaca.
Ribut itu sudah menjejaskan perkhidmatan pengangkutan di negara itu dengan beberapa jadual perjalanan keretapi laju Shinkansen dan feri sudah dibatalkan.
Syarikat Keretapi Tengah Jepun berkata ia membatalkan hampir 50 perjalanan keretapi menghubungkan Tokyo dengan kawasan tengah dan barat Jepun, perkhidmatan feri di Teluk Tokyo juga ditutup.
Hampir 30 penerbangan juga dibatalkan dan beberapa lebuhraya sudah ditutup di Kanagawa, barat Tokyo kerana ribut kencang, menurut laporan media tempatan.
Faxai kini berada di Kepulauan Hachijojima, di Pasifik pada jam 10 pagi hari ini, sedang bergerak dengan kelajuan 30 kilometer sejam dan sudah mewujudkan ombak besar.
Taufan Krosa melanda Jepun pada pertengahan Ogos, membawa bersama angin kencang dan hujan lebat membunuh seorang rakyatnya.
Pada hujung Ogos pula, hujan lebat membunuh tiga orang apabila banjir kilat membadai kawasan barat Jepun. – AFP, 8 September, 2019.
Komen