Menteri alam sekitar Kanada diberi kawalan keselamatan ketat


Serangan yang ditujukan kepada Menteri Alam Sekitar Catherine McKenna, daripada ugutan dalam talian kepada makian di jalanan bertambah buruk sehingga kawalan keselamatan diberikan terhadapnya. – Gambar AFP, 8 September, 2019.

KETIKA perdebatan tentang perubahan iklim dunia semakin hangat menjelang pilihan raya Kanada, menteri alam sekitarnya diberi kawalan keselamatan, umumnya semalam, tindakan yang jarang berlaku di negara di mana kebanyakan menterinya bergaul dengan orang kebanyakan.

Bukan sesuatu yang asing di Ottawa dan bandar Kanada lain untuk terserempak dengan menteri yang sedang mengayuh basikal atau beratur di kedai untuk membayar barangan dibeli.

Bagaimanapun, serangan yang ditujukan kepada Menteri Alam Sekitar Catherine McKenna, daripada ugutan dalam talian kepada makian di jalanan bertambah buruk sehingga kawalan keselamatan diberikan terhadapnya.

“Serangan seksis dan kebencian ditujukan kepada mereka yang bekerja untuk perubahan iklim dunia tidak lagi dapat diterima,” kata McKenna dalam satu kenyataan kepada AFP, menjelaskan ia menyukarkannya bekerja dan berhubungan dengan rakyat.

McKenna bertanggungjawab merangka rancangan pengurangan pembebasan gas karbon dioksida sebanyak 30% daripada tahap 2005 menjelang 2030 di bawah Perjanjian Paris, mendapat ugutan bunuh dan sering menerima makian seksual.

Beliau digelar “Barbie Iklim”, sampah dan musuh rakyat.

Retorik politik dan wacana awam sudah mencapai tahap membimbangkan di Kanada sehingga seorang penjawat awam kanan memberi amaran kepada wakil rakyat pada Februari yang “terdapat peningkatan keganasan” yang boleh menyebabkan “seseorang ditembak ketika kempen politik”.

Terbaru, menurut pejabat McKenna, seorang lelaki menghampirinya dan anak-anaknya di pawagam dan menghamburkan kata-kata makian mengancam.

Beberapa aktivis alam sekitar juga meluahkan kebimbangan tentang keselamatan mereka.

Kebencian itu bukan sahaja ditujukan kepada warga Kanada. Seorang bekas menteri luar, Maxime Bernier, minggu ini menggelarkan aktivis alam sekitar warga Sweden Greta Thunberg, 16, sebagai “tidak stabil mental” sebelum menarik kembali kenyataan itu.

Alam sekitar dijangka jadi isu panas musim pilihan raya Kanada yang dijangka berlaku Oktober ini, dengan dua parti utama merebut meraih keyakinan rakyat tentang isu itu.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, seorang liberal, yang sedang berkempen untuk penggal kedua berjuang meneruskan pengurangan pembebasan karbon mendapat saingan daripada musuh utamanya, pemimpin Konservatif Andrew Scheer yang berikar membatalkan langkah itu sekiranya dipilih rakyat. – AFP, 8 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen