JOKER, filem berani tentang penyangak adaptasi komik dibintangi Joaquin Phoenix menang anugerah Golden Lion untuk filem terbaik di Festival Filem Venice semalam, pengarah kontroversi Roman Polanski pula meraih hadiah kedua.
Ia adalah filem adiwira pertama mendapat penghargaan pesta filem ternama dan boleh membuka jalan kepada pengiktirafan di Oscar.
Dua pemenang Venice yang lepas -Roma dan The Shape of Water- menerima anugerah filem terbaik di Oscar.
Pengarah AS Todd Philips- dikenali kerana filem komedinya Very Bad Trip- memberi penghargaan kepada lakonan Phoenix yang mengagumkan, berkata beliau adalah “salah seorang singa yang paling menggerunkan, berani dan berfikiran terbuka pernah saya kenali.”
“Terima kasih kerana mempercayai saya dengan bakat luar biasa anda,” katanya.
Filem itu yang disifatkan akhbar The Guardian sebagai “salah sebuah penerbitan Hollywood paling berani ketika ini” sudahpun mencetuskan perdebatan hangat.
Dan hadirin dikejutkan apabila pengarah Perancis-Poland Polanski- terpinggir di Hollywood selepas disabitkan kesalahan merogol- menerima anugerah kedua tertinggi Grand Prix untuk filemnya, An Officer and a Spy.
Phoenix dilaporkan kehilangan lebih 23 kilogram berat badan untuk wataknya dalam filem Joker.
Polanski, 86, dipinggirkan penerbit besar berdekad lamanya selepas disabitkan bersalah merogol gadis berusia 13 tahun.
Penyertaannya dalam pertandingan utama Venice, yang turut melibatkan dua pengarah wanita mencetuskan kemarahan feminis. – AFP, 8 September, 2019.
Komen