Bergantung pada Pakistan, kata India dalam isu sekatan komunikasi di Kashmir


Lebih sebulan selepas India menarik balik kuasa autonomi wilayah itu dan menyekat pergerakan di situ, perkhidmatan telefon bimbit dan Internet masih disekat. – Gambar EPA, 8 September, 2019.

PENARIKAN semula sekatan komunikasi dilakukan New Delhi terhadap Kashmir bergantung pada Pakistan menghentikan pengerahan “pengganas” dan menyebabkan kekacauan di situ, kata penasihat keselamatan India semalam.

Lebih sebulan selepas India menarik balik kuasa autonomi wilayah itu dan menyekat pergerakan di situ, perkhidmatan telefon bimbit dan Internet masih disekat.

Penasihat Keselamatan Negara Ajit Doval berkata 100% talian telefon tetap kini berfungsi tetapi kemudahan selanjutnya bergantung pada Pakistan, yang didakwanya menghantar 230 militan masuk ke wilayah itu.

“Pembatalan sekatan telekomunikasi bergantung pada bagaimana kelakuan Pakistan. Kami berusaha untuk melindungi nyawa rakyat Kashmir daripada pengganas Pakistan walaupun kami terpaksa mengenakan sekatan.”

Doval berkata India memintas mesej dihantar oleh menara telekomunikasi Pakistan berkenaan operasi di sempadan di kawasan Kashmir yang ditadbir India.

Katanya, beliau percaya majoriti rakyat Kashmir menyokong tindakan India pada 5 Ogos untuk memansuhkan status khas Kashmir kerana mereka merasakan ia akan membawa lebih banyak manfaat ekonomi.

Kashmir, terbahagi antara India dan Pakistan sejak 1947, menjadi punca perang antara dua negara itu. – AFP, 8 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen