AH Tong sudah biasa menunggu di becanya sehingga beberapa hari di tepi bangunan Komtar, di Georgetown tanpa mendapat sebarang penumpang.
Ketika ditemui The Malaysian Insight di tangga bangunan pencakar langit itu, lelaki 66 tahun berkenaan sedang berehat sambil matanya ligat mencari kelibat pelancong asing.
Hanya golongan pelancong itu sahaja yang berminat menggunakan perkhidmatan beca seperti yang diusahakan olehnya dan kira-kira 300 orang yang lain di bandar bersejarah itu.
“Susah nak dapatkan penumpang. Sekarang pula ada sediakan bas percuma dari Hotel Cititel ke Komtar, orang lebih pilih bas berbanding kami,” keluhnya yang kini hidup sebatang kara.
Hotel tersebut menyediakan ruang untuk pengayuh beca sepertinya untuk menunggu pelanggan dan turut mempromosi pengangkutan itu kepada pelanggan.
Ada kalanya beliau akan mendapat dua atau tiga penumpang sehari di laluan sekitar Komtar, Hotel Cititel dan Padang Kota Lama, namun ia sukar baginya kerana perlu bekerja sehingga lebih 12 jam.
“Saya sudah dua tiga hari tak dapat pelanggan. Sehingga hari ini baru dapat RM25. Minggu lepas saya dapat beberapa belas ringgit sahaja,” katanya.
Ah Tong mengakui sangat sukar untuk menampung kehidupannya namun tetap mengayuh beca seberat 80kg yang disewa dengan kos RM2.50 sehari.
Beliau tidak mampu membelinya kerana setiap beca itu berharga sehingga RM6,500 sebuah.

Selain itu Ah Tong juga perlu menanggung kos bilik yang disewanya di kawasan berhampiran dan selebihnya untuk makan seharian.
“Tapi makan tak susah, kadang-kadang orang lain bagi,” katanya yang mula mengayuh beca 13 tahun lalu selepas berhenti bekerja sebagai pemandu lori.
Rakannya, Awang Man pula menyifatkan kehidupan penarik beca itu seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Ketika ditemui di Komtar, Awang, 74, mengeluh kerana dalam tempoh tiga hari lepas beliau tidak mendapat sebarang pelanggan.
“Empat ke lima hari tak dapat penumpang pun saya dah biasa. Tapi hari ini boleh tahan sikit, dapat dua orang bawa sejam, dapatlah RM100,” katanya.
Mereka menetapkan sendiri tambang untuk setiap perjalanan, bergantung kepada setiap penarik beca masing-masing.
Namun kebiasaannya tambang yang disebut untuk bersiar-siar adalah RM50 untuk satu jam. Awang membawa penumpang tersebut di laluan sekitar Georgetown yang menjadi tumpuan pelancong.
Beliau yang bertahan sebagai pengayuh beca sejak 44 tahun lalu melihat satu pencabar baharu yang boleh mengancam pendapatannya – perkhidmatan kenderaan penumpang e-hailing.
“Sejak ada perkhidmatan Grab, kami bertambah susah. Dengan Grab, boleh naik empat hinga lima orang, beca mana boleh,” katanya.
Pengayuh beca tua sepertinya tidak akan dapat menyaingi perkhidmatan tersebut yang dapat turut membawa penumpang untuk jarak dekat di kawasan Georgetown.
“Ada antara kami pun macam-macam penyakit, macam saya ada masalah penglihatan, tengok apa-apa nampak kelabu. Tapi (saya) tetap nak bawa beca,” jelas beliau.

Pada masa ini, mereka hanya menerima bantuan daripada kerajaan negeri berjumlah RM100 sebulan yang diagihkan RM20 setiap minggu.
Namun jumlah itu tidak cukup kerana ramai antara mereka semakin tua dan menghidapi pelbagai penyakit.
Ah Tong dan Awang Man merupakan antara lebih 300 orang penarik beca di seluruh Pulau Pinang. Kebanyakannya hanya mampu menyewa beca yang berharga mahal, RM6,500 sebuah.
Namun nasib kedua-duanya lebih baik kerana mempunyai tempat tinggal. Kebanyakan penarik beca lain yang tidak berumah menjadikan kaki lima dan beca itu sendiri sebagai rumah.
Sebanyak 55% daripada penarik beca ini didapati tidak berumah, menurut kajian Mobiliti Bandar: Kembali Kepada Beca di Georgetown oleh Institut Penang pada 2016.
Pendapatan paling tinggi yang dapat diraih hanyalah sekitar RM900 hingga RM1,000 sebulan – yang memerlukan mereka bekerja siang dan malam.
Hanya segelintir daripada penarik beca ini – seramai kira-kira 17% – mampu meraih pendapatan sehingga RM1,300 sebulan, menurut Institut Penang.
Kebanyakannya juta terdiri daripada keturunan Cina, seramai 61%, diikuti penarik beca Melayu (23%) dan India (15%).
Mereka bernaung bawa Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang yang berharap kerajaan dapat memberi lebih banyak bantuan untuk menyelenggara beca.
Presiden persatuan itu, Abdul Latiff Mohd berkata, kos penyelenggaraan itu kini amat tinggi terutama untuk bahagian yang akan lusuh.
“Kami nak tukar tayar, rantai, dan kusyen harganya mahal. Tukar tayar sahaja mencecah RM 150,” kata beliau.
Pendapatan mereka juga kini banyak bergantung kepada pelanggan daripada hotel, kata Abdul Latiff.
“Kalau kerja dengan hotel, senang sikit. Kita tunggu mereka hubungi kita untuk bawa pelanggan-pelanggan mereka.
“Bawa pelanggan dalam masa satu jam dapat RM50. RM 40 dapat kepada kita, RM10 perlu bagi kepada hotel,” jelasnya.

Abdul Latiff yang menarik beca sejak 50 tahun lalu berkata, masa depan perkhidmatan itu kini sangat malap kerana golongan muda tidak berminat sama sekali pada pekerjaan itu.
“Yang ramai golongan veteran, orang muda dalam usia 30-an tak ramai. Mungkin orang muda tak minat, sebab rasa malu,” katanya.
Perkara itu diakui pengkaji Institut Penang, Tan Lii Inn, yang menjelaskan, kajian ke atas 112 penarik beca menunjukkan masa depan industri itu “sangat malap”.
“Lebih 90% responden adalah penarik beca yang berusia 50 tahun keatas, dan mereka berkhidmat lebih daripada 20 tahun. Ini membuktikan anak muda tidak berminat terhadap industri beca,” katanya.
Oleh itu usaha mentransformasi perkhidmatan itu tidak berjaya kerana pengusahanya sudah tua dan tidak terdedah kepada teknologi, katanya.
“Mereka ini terlalu tua, hidup sangat miskin. Jadi mereka tidak fikir lain melainkan bantuan kewangan.
“Kami pernah cadangkan penggunaan teknologi tetapi mereka tidak mahu. Sebabkan usia yang tua, mereka tidak terdedah kepada teknologi,” kata beliau.
Pengkaji Pengajian Bandar di Institut Penang ini berkata, kerajaan Pulau Pinang perlu mengambil langkah proaktif bagi memulihkan warisan negeri itu.
Katanya, beca Pulau Pinang itu boleh ditransformasi menjadi beca moden seperti perkhidmatan Trishaw Uncle di Singapura dan Artee di Korea Selatan.
“Sediakan platform atas talian dan uniform kepada penarik beca supaya industri ini nampak lebih sistematik.
“Kerajaan Negeri perlu naik taraf penarik beca sebagai duta negeri supaya lebih ramai anak muda berminat dengan industri ini dan mampu mengubah persepsi orang ramai terhadap beca,” tambahnya. – 8 September, 2019.
Komen