Perang dagang AS-China beri kesan buruk kepada Malaysia


Sheridan Mahavera

Malaysia mungkin berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan berikutan perang perdagangan AS-China. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2019.

PERANG dagang Amerika Syarikat (AS)-China akan memberi kesan buruk kepada perdagangan dan ekonomi Malaysia walaupun pada awalnya mendapat manfaat, kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).

AMCHAM berkata perang dagang itu melembabkan pertumbuhan ekonomi global dan negara seperti Malaysia yang akan terkesan kerana bergantung berat kepada export.

Kira-kira 83% daripada 1,200 ahli AMCHAM yang berurus niaga dengan AS, China dan Malaysia, berkata mereka bimbang tentang perang dagang itu, kata pengarah eksekutifnya, Siobhan Das kepada The Malaysian Insight.

Das berkata kira-kira 44% ahli AMCHAM memberitahu bahawa mereka terjejas teruk dalam tempoh enam bulan lepas ekoran perang dagang itu dan hanya 9% daripadanya yang menerima kesan positif.

Situasi ini berbeza walaupun menurut data kerajaan Malaysia bahawa perang dagang meningkatkan pelaburan ke Malaysia memandangkan sejumlah syarikat memindahkan operasi mereka bagi mengelakkan dikenakan tarif tinggi.

Tinjauan dalam kalangan ahli AMCHAM menunjukkan syarikat-syarikat AS mendapati negara Asia Tenggara terutamanya Malaysia mempunyai tarikan untuk perniagaan disebabkan perang dagang ini AS-China.

Namun jika teliti secara seimbang, kesan negatif perang dagang mengatasi hasil positif.

Perang dagang Amerika Syarikat (AS)-China akan memberi kesan buruk kepada perdagangan dan ekonomi Malaysia walaupun pada awalnya mendapat manfaat. – Gambar AFP, 7 September, 2019.

“Ya, kita dapat lihat produksi tambahan berpindah ke kilang yang sedia ada di Malaysia,” katanya.

“Ini disebabkan, ahli syarikat kita (dan Malaysia secara keseluruhannya) perlu berintegrasi dalam rangkaian bekalan global.

“Dan kesan negatif perang dagang terhadap perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi menunjukkan hasil yang tidak diingini.”

Manfaat pemindahan semula

Menurut statistik Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan dari AS ke Malaysia meningkat kepada AS$5.62 billion (RM23.45 billion) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 2018.

Pada 2018, jumlah keseluruhan pelaburan AS ke Malaysia adalah AS$113 million (RM 471.56 million).

Peningkatan ini dipercayai berpunca daripada pemindahan operasi syarikat AS dari China ke Malaysia.

Menurut MIDA, hasil terbesar pelaburan baharu AS atau RM11.52 bilion melibatkan sektor perkhidmatan dalam tempoh enam bulan pertama 2019.

Sebagai perbandingan, sektor yang sama hanya menerima RM42.3 juta pelaburan AS bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Malaysia meluluskan pelaburan AS bernilai RM1.69 bilion dalam bidang pembuatan, jauh lebih tinggi berbanding RM307 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut laporan Reuters, Vietnam dan Malaysia antara dua destinasi pelaburan paling diminati oleh syarikat-syarikat AS.

Das berkata AS merupakan rakan dagangan Malaysia ketiga terbesar pada 2018 dengan jumlah keseluruhan eksport dan import bernilai RM155 bilion.

“Export dari Malaysia ke AS meningkat lebih RM90 bilion, nilai tertinggi dalam tempoh lebih sedekad pada 2018.”

Walaupun perang dagang berterusan, kebanyakan syarikat AS masih kekal di China kerana penduduk negara itu merupakan pengguna terbesar.

“Bagi memahami impak perang dagang dalam maksud pelaburan AS di Malaysia, kita perlu melihat lebih jauh dalam berbanding hanya memikirkan tentang syarikat baharu memasuki pasaran.

“Kebanyakan syarikat AS mempunyai operasi pembuatan di Malaysia dan China.  Apa yang perlu kita lihat adalah aktiviti perniagaan beralih dari China ke Malaysia.”

Sebagai contoh, Das berkata, sebuah syarikat di China yang menghasilkan 70% pasaran untuk rakyat China dan 30% peratus eksport ke AS, lebih gemar memilih untuk mengubah operasi keluar dari China ke negara seperti Malaysia.

Selebihnya daripada 70% itu akan kekal di China, katanya.

“Ahli AMCHAM merupakan sebahagian rantaian bekalan global dan perang dagangan yang berpanjang melemahkan pertumbuhan ekonomi global akhirnya akan memberi kesan negatif terhadap prestasi perniagaan.”

Das memberitahu bahawa kerajaan Malaysia dan Bank Dunia meramalkan bahawa pertumbuhan lembab ekonomi negara sepanjang 2019 ekoran perdagangan global yang perlahan dan peningkatan ketidaktentuan dalam ekonomi utama. – 8 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen