Belanda kesal Ukraine serah suspek kes MH17 ke Rusia


KERAJAAN Belanda kecewa dengan tindakan Ukraine menyerahkan suspek kes tembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 kepada Rusia walaupun berulang kali menggesa agar tidak berbuat demikian.

Amsterdam berulang kali menghubungi Ukraine sebagai usaha menghalang penyerahan Vladimir Tsemakh yang dipercayai pakar sistem pertahanan udara dari kumpulan pemberontak pro-Moscow, kata Menteri Luar Stef Blok.

Pesawat MH17 ditembak jatuh senjata buatan Rusia ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Julai 2014, menyebabkan 283 penumpang dan 15 krew terbunuh.

Blok berkata pihak berkuasa mempunyai peluang untuk menyoal Tsemakh sebelum dia diserahkan kepada Rusia dan Belanda amat kesal dengan tindakan Ukraine itu.

Rusia menegaskan bahawa Tsemakh akan dibawa ke Moscow dan konsisten menolak sebarang dakwaan bahawa mereka mempunyai peranan dalam kes tersebut.

Awal hari ini, Rusia dan Ukraine melengkapkan pertukaran 70 banduan dalam satu perjanjian yang dipuji oleh Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky sebagai langkah pertama untuk mengakhir konflik kedua-dua negara. – AFP,  7 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen