Zakir Naik patuh arahan polis, tidak berucap di Masjid Cina Melaka


Mohd Farhan Darwis

Zakir Naik patuh pada arahan polis dan tidak memberi ceramak ketika menghadiri program agama di Masjid Cina Melaka malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 September, 2019.

PENDAKWAH kontroversi dari India, Zakir Naik mematuhi arahan polis dengan tidak menyampaikan ucapan kepada orang ramai secara terbuka dalam program di Masjid Cina Melaka, malam tadi.

Beliau hanya mengimamkan solat Maghrib dan Isyak, selain mengikuti bacaan Yasin bersama kira-kira lebih 1,000 jemaah.

Zakir tiba di masjid di Krubong, Melaka itu sejurus sebelum waktu Maghrib dan meninggalkan majlis kira-kira pukul 9.30 malam. Sedikit kekecohan tercetus ketika beliau bergerak meninggalkan kawasan masjid apabila orang ramai menyerbunya untuk bergambar.

Program “Malam Islam Bersatu” malam tadi adalah anjuran Jawatankuasa Masjid Cina, Melaka yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Mohd Rafiq Naizamohideen.

“Zakir Naik bukan penjenayah, tidak ada satu orang dibunuh atau diusik beliau, kenapa nak takut dengan pendakwah seperti Zakir Naik,” kata Rafiq, ketika menyampaikan ucapannya, sejurus selesai solat Isyak.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu turut mengharapkan sekatan dan larangan untuk Zakir menyampaikan ceramah ditarik balik bagi membolehkan beliau terus berdakwah.

“Permintaan saya dan umat Islam… kita tak desak… kita beri ruang polis lakukan siasatan atas kenyataan Zakir, jika siasatan selesai dan segala-galanya sudah diputuskan tidak ada masalah, kita harap usaha berdakwah dapat diteruskan.

“Itu harapan saya dan umat Islam, tapi kita tidak mendesak. Kita perlu beri ruang kepada PDRM. Itu urusan berbeza,” katanya.

Hadirin mengambil kesempatan untuk bergambar dengan Zakir Naik selepas program di Masjid Cina, Melaka selesai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 September, 2019.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka itu juga mengharapkan Zakir berhati-hati dalam syarahannya akan datang agar tidak menyentuh isu perkauman dan keagamaan. 

Pihaknya juga berharap mana-mana pimpinan politik yang membantah program anjuran Masjid Cina Melaka supaya tidak melampaui batas dengan mencampuri urusan umat Islam sehingga ke masjid.

“Saya berdiri di sini ambil risiko kecaman kawan dan lawan. Hari ini saya tak keseorangan, saya bersama anda dan apa pun cabaran yang mendatang kita tempuhi bersama.

“Saya hairan walaupun undang-undang benarkan (untuk teruskan program), masih ada pihak buat bantahan dan tidak puas hati kepada kita,” kata Rafiq.

Dalam pada itu, Rafiq turut mempertahankan tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkeras untuk tidak menghantar Zakir pulang ke India walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, kita rasa bertuah dan bersyukur Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad walaupun beliau ditekan untuk hantar Zakir Naik pulang ke negara asal, Dr Mahathir berpendirian tegas menyatakan Malaysia tidak akan hantar Zakir Naik ke India.

“Saya harap kita jangan biarkan Dr Mahathir keseorangan, ketepikan ideologi politik dan bersatu sokong pendirian perdana menteri walaupun ada pihak yang biadap menentang perdana menteri secara terbuka dan memberi pelbagai tekanan,” kata Rafiq lagi.

Antara pemimpin DAP yang membantah program itu adalah Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, yang menggesa semua pihak menghormati semangat keputusan Ketua Menteri Melaka Adly Zahary, untuk mengharamkan ceramah oleh Zakir di negeri itu.

Kerk, yang juga exco komunikasi, multimedia, NGO, pembangunan belia dan sukan negeri berkata, Zakir adalah individu yang mencetuskan kontroversi walaupun beliau tidak berceramah dalam program terbabit.

Rafiq bagaimanapun mengharapkan, kumpulan penentang program malam tadi bersikap profesional dan tidak mencampur adukkan dengan pentadbiran kerajaan.

“Saya harap tidak ada masalah selepas ini, sebagai exco pelaburan, perindustrian saya nak teruskan tugas saya dalam kerajaan, saya harap tidak ada masalah dab saya harap ianya (tugas saya) dapat berjalan dengan lancar,” kata Rafiq lagi.

Pada 19 Ogos lalu, Adly dilaporkan berkata, kerajaan Melaka tidak akan membenarkan Zakir menyampaikan ceramah di negeri itu. Sehari selepas kenyataan tersebut polis di Bukit Aman mengenakan larangan menyeluruh melarang Zakir berucap di semua platform termasuk media sosial. – 7 September, 2019.

Program


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen